Naib Presiden Umno Datuk Seri Shafie Apdal mempersoalkan apakah tindakan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menguatkan parti itu dan kerajaan.

Shafie yang dilucutkan jawatan daripada kabinet sebelum ini juga kesal apabila ahli parti yang menegur dan mengkritik pemimpin mereka dilabel sebagai pengkhianat.

"Malah ada juga individu yang terus melabel mereka ini sebagai pengkhianat kepada parti dan ada juga yang mengatakan mereka ini seolah-olah sebagai anjing yang menggigit kaki," ujarnya.

Beliau dipercayai merujuk kenyataan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Nazri Aziz baru-baru ini yang mahu Muhyiddin digantung daripada jawatannya.

Shafie berkata beliau bimbang dengan situasi dihadapi Umno ketika ini apabila rakyat semakin hilang keyakinan terhadap parti itu.

Katanya, pada era Tun Dr Mahathir Mohamad, pemimpin seperti Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah dan Tun Musa Hitam lantang mengkritik bekas perdana menteri itu namun tiada tindakan diambil terhadap mereka.

"Begitu juga dalam zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi, bilamana ada pimpinan termasuk saya sendiri menegur, namun tiada tindakan displin diambil terhadap mereka.

"Adakah dengan mengambil tindakan terhadap Tan Sri Muhyiddin akan menguatkan parti Umno dan kerajaan?" soalnya dalam kenyataan media hari ini.

Katanya, teguran dilakukan Muhyiddin bukan untuk melemahkan pucuk pimpinan parti atau menjatuhkan kerajaan.

Sebaliknya parti dan kerajaan jauh lebih penting daripada pemimpin dan individu tertentu, tegasnya.

"Ya, saya sayangkan parti, tetapi saya sayangkan negara lebih dari segalanya.

"Kedaulatan dan kemakmuran negara adalah jauh lebih penting daripada mana-mana individu ataupun pemimpin tertentu," katanya.