Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Rancangan pemimpin pusat Umno Datuk Seri Nazri Aziz untuk menggantung Tan Sri Muhyddin Yassin sebagai timbalan presiden mendapat sokongan rakan sejawatnya dalam Majlis Tertinggi (MT).

Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata oleh kerana Muhyiddin tetap mengkritik Datuk Seri Najib Razak selaku presiden, beliau akan diusul untuk digantung jawatannya kepada Jawatankuasa Disiplin.

"Ini arahan majlis kerja tertinggi parti, sebuah badan tertinggi Umno, presiden pun tertakluk kepada kuasa majlis tertinggi apatah lagi timbalannya.

"Bila satu keputusan itu dibuat, ia mengikat presiden, timbalan presiden dan mana-mana ahli Umno dalam konteks keputusan itu dibuat.

“Jika masih tak hiraukan keputusan sebulat suara itu maka timbalan presiden atau mana-mana ahli berdepan risiko tindakan disiplin," katanya.

Rahman berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan hari terbuka Makmal Pengurusan Sisa Pepejal Negara di sebuah hotel di Kuala Lumpur hari ini.

Sebelum ini Nazri Aziz berkata akan membawa cadangan kepada jawatankuasa disiplin parti pada mesyuarat MT akan datang agar Muhyiddin digantung jawatan.

Nazri turut mengumpamakan tindakan Muhyiddin sejak kebelakangan ini ibarat “anjing yang sibuk menggigit kaki” sehingga menyukarkan parti itu daripada melaksanakan tanggungjawabnya.

Muhyiddn sebelum ini digugurkan sebagai timbalan perdana menteri setelah tidak sehaluan dalam isu syarikat pelaburan negara sarat hutang 1MDB.

1MDB ditubuhkan hasil cetusan ilham perdana menteri.

Rahman ketika ditanya sama ada MT berkuasa memecat Muhyiddin, beliau berkata, ia prosedur normal yang harus melalui jawatankuasa disiplin sebelum disiasat dan tampil dengan cadangan sewajarnya.

Beliau menolak dakwaan nasib Muhyiddin akan diputuskan dalam mesyuarat esok.

"Oh tidak, kita harus melalui proses yang ditetapkan, maksud saya anda kena faham bukannya esok terus ditentukan tindakan. Bukan begitu.

"Kalaupun ada cadangan untuk mengambil tindakan, ia mesti melalui proses penyiasatan dan sebagainya dalam jawatankuasa disiplin Umno, saya harap jawatankuasa berkaitan akan berlaku adil dalam hal ini," katanya.

Lihat Komen
ADS