Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan menuntut penjelasan kerajaan Selangor berhubung tindakan mendirikan papan iklan #BebasAnwar di negeri itu.

Katanya, walaupun exco kerajaan tempatan Selangor sebelum ini Ronnie Liu berkata tiada iklan berunsur politik dipasang, keadaan sebaliknya kini berlaku.

“Kita dah pernah dengar teguran daripada exco kerajaan tempatan Selangor, Ronnie Liu, pada suatu masa mengatakan dia tidak akan benarkan pihak berkuasa tempatan di Selangor untuk menyiarkan kenyataan-kenyataan ataupun kain rentang yang mempunyai unsur unsur politik.

“Saya nak tuntut balik apa yang dikatakan oleh bekas exco kerajaan tempatan Selangor, yang mana meminta dan mengarahkan PBT untuk tidak menggunakan fasiliti mereka untuk tujuan politik,” katanya.

Rahman berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Hari terbuka Makmal Pengurusan Sisa Pepejal Negara di sebuah hotel di Kuala Lumpur hari ini.

Semalam Exco Pemuda Umno, Armand Azha Abu Hanifah membuat laporan polis terhadap Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali kerana didakwa membenarkan papan iklan mahu membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Isnin lalu, Umno Selangor turut membuat laporan berhubung perkara sama di ibu pejabat polis daerah Sungai Buloh.

Ketua Penerangan Umno Selangor Datuk Zein Isma Ismail berkata kandungan papan tanda yang dipamerkan itu mencabar keputusan mahkamah terhadap Anwar.

Katanya papan iklan dengan gambar bekas ketua pembangkang itu serta tulisan “Bebas Rakyat, Bebas Anwar” itu dipamerkan di beberapa kawasan di Selangor, antaranya Ampang Jaya, Kepong dan Rawang.

Anwar sedang menjalani hukuman lima tahun penjara di Sungai Buloh selepas disabitkan bersalah meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan.