Jika buku biografi pemimpin dunia seperti Nelson Mandela, Lee Kuan Yew boleh disenaraikan sebagai buku perpustakaan rujukan, mengapa tidak buku biografi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak?

Jawapan itu diberikan oleh Menteri Pelajaran, Datuk Seri Mahdzir Khalid yang mengulas tindakan kerajaan negeri Pahang yang mahu perpustakaan negeri menyenaraikan buku "Najib Razak 40 Years 40 Pictures” sebagai bahan rujukan.

Pahang juga dilaporkan akan membeli 2,000 naskhah buku berkenaan untuk diedarkan kepada semua sekolah di negeri itu.

Pada sidang akhbar hari ini selepas lawatan ke sebuah sekolah menengah di Petaling Jaya, Selangor, Mahdzir memuji tindakan itu yang katanya sebagai "sangat baik".

"Ini adalah inisiatif oleh negeri, mungkin dibeli oleh NGO, kita tak halang mereka daripada mengedar," katanya beliau sambil menjelaskan buku itu bukan bersifat politik, tetapi adalah "profil pemimpin".

Katanya perpustakaan menyenaraikan pelbagai buku pemimpin dunia sebagai buku rujukan, daripada Perdana Menteri Malaysia kepada pemimpin antarabangsa,

"Dalam perpustakaan, ada banyak buku-buku Mandela, Lee Kuan Yew, semua jenis pemimpin. Sebagai PM Malaysia, saya rasa tak salah letakkannya di sana (perpustakaan).

"Ada juga buku Tunku Abdul Rahman, Tun Razak Hussin, Tun Hussien Onn, Tun Dr Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Ahmad Badawi, dan sekarang buku Najib, saya tidak fikir ia perlu menjadi masalah," katanya.

[Baca berita penuh]