'Pemimpin, rakyat digalak kunjung rumah ibadat bukan Islam'
Jabatan Akidah dan Pemikiran Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya mencadangkan kepada kerajaan supaya rakyat negara mengamalkan budaya kunjung-mengunjung ke rumah ibadat pelbagai kaum.
Menurut pensyarah kanannya, Prof Madya Dr Khadijah Hambali, amalan itu mampu meningkatkan pemahaman serta sensitiviti antara kaum Melayu, Cina dan India.
Malah, katanya, amalan itu juga dapat membuka minda rakyat mengenai pebezaan budaya dan agama supaya tidak timbul kecelaruan.
"Pemimpin setiap agama perlu mengadakan pertemuan serta memberitahu kepada masyarat tentang peranan agama masing-masing.
“Contohnya, umat Islam akan sambut Ramadan, Hindu sambut Deepavali manakala Cina akan sambut tahun baru, kita kena jelaskan semua jenis perayaan tersebut serta apa fungsi ibadat mereka.
"Selain itu kita juga perlu mengadakan aktiviti ziarah rumah ibadah, ziarah rumah anak yatim tanpa mengira agama dan ia perlu dikumpulkan dalam satu program," katanya dalam sidang media muzakarah pakar pendekatan fiqh ta'amul dalam hubungan antara penganut agama di Malaysia di Kuala Lumpur hari ini.
Mengulas lanjut, Khadijah berkata meskipun cara tersebut pada awalnya agak sukar untuk dilaksanakan kerana terdapat kekangan, tetapi akhirnya akan membuahkan hasil.
"Fokus pertama dia faham dan kedua keharmonian.Saya pernah mencadangkan kepada pemimpin antara agama seperti Kristian, Buddha dan Hindu bahkan dikalangan pemimpin Islam ada pertemuan mingguan di mana kita (Islam) pada hari Jumaat, Kristian pada hari Ahad.
"Mula-mula memang agak sukar untuk mereka mempercayai cara tersebut takut timbul masalah tetapi bila sudah bertemu baru minda mereka terbuka.
“Malah, bukan muslim juga seronok dengan cara itu dimana selama ini mereka agak takut mendekati Islam,” kata Khadijah.
Beliau juga mahu perkara tersebut dijadikan acara tahunan.
"Perkara ini boleh dijadikan acara tahunan tetapi dengan syarat ia tidak dipolimik atau dipolitikkan. Malah perkara ini telahpun dibuat di sesetengah masjid cuma tidak mendapat liputan menyeluruh," katanya.
Perpaduan pada tahap baik
Sementara itu, Felo Pusat Kajian Syariah Undang-undang dan politik Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Enizahura Abdul Aziz menafikan perpaduan kaum di negara ini bermasalah.
Menurut, Enizahura ini kerana perpaduan antara kaum di negara ini sudah menjadi aspek atau agenda yang paling utama.
“Masyarakat majmuk di Malaysia hari ini tidak mempunyai interaksi yang baik itu tak betul, nak kata kita berdepan dengan masalah perpaduan kaum juga tak benar.
“Sebab perpaduan sudah menjadi aspek atau agenda utama kepada negara ini.
“Malah, perpaduan kaum di negara kita berada di tahap yang terbaik,” kata Enizahura.
Bagaimanapun, Enizahura berkata masyarakat di negara ini tidak boleh berpuas hati dengan keadaan tersebut dan harus terus memperbaiki hubungan sedia ada.
Malah, menurut Enizahura ia menjadi cabaran kepada negara untuk terus kekal dengan momentum tersebut.
“Tetapi kita tak boleh berpuas hati kerana banyak perkara baik akan menjadi tidak baik. Justeru untuk kelangsungan kepada kebaikan itu kita kena ada usaha baik di peringkat kerajaan mahu pun masyarakat kita harus terus berusaha menjadi lebih baik serta perbaiki yang sedia ada.
“Ini merupakan cabaran kepada negara majmuk seperi Malaysia,” tambahnya.

