‘Derma’ kempen BN pada PRU-13: PKR buat laporan polis
PKR hari ini membuat laporan polis ke atas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak atas dakwaan memanfaatkan wang sebanyak RM2.1 juta daripada Kementerian Kewangan yang disalurkan kepada sebuah pertubuhan masyarakat India untuk kempen "Nambikei" BN pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang lalu.
Laporan itu dibuat oleh ahli Parlimen Kapar, G Manivannan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di Kuala Lumpur sekitar jam 3.00 petang.
Bercakap kepada pemberita, Manivannan berkata beliau turut membuat laporan terhadap dua pemegang jawatan tertinggi Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia (MAICCI) yang dakwanya menyalahi piagam pertubuhan dengan menggunakan wang itu untuk kempen pilihan raya.
Menurut Manivannan, pihaknya membuat laporan itu berdasarkan pendedahan yang dibuat setiausaha agung parti itu, Rafizi Ramli semalam.
Manivannan berkata pendedahan itu adalah gambaran bahawa peruntukan yang sebegitu banyak diumumkan perdana menteri sebelum ini tidak sampai kepada masyarakat kaum India.
"Saya kesal kerana nama masyarakat India dan peniaga kecil India telah disalahgunakan untuk mendapatkan dana kerajaan yang akhirnya tidak sampai kepada masyrakat India.
"Saya percaya penyelewengan dana rakyat dengan menggunakan nama masyarakat India yang didedahkan ini lebih luas lagi kerana sudah menjadi amalan BN mengagihkan dana kerajaan melalui NGO," katanya kepada pemberita.
Rafizi Ramli semalam mendedahkan beberapa baucar bayaran yang didakwanya mengandungi maklumat terperinci bagaimana mendapat manfaat daripada RM2 juta wang pembayar cukai untuk membiayai kempen pilihan raya umum ke-13.
Pendedahan tersebut dibuat anggota Parlimen Pandan itu berikutan dakwaan bahawa Kementerian Kewangan pada 2013 meluluskan jumlah itu sebagai "geran derma" kepada MAICCI, sebuah persatuan kaum India yang mesra-BN.
Pilihan raya umum ke-13 telah diadakan pada 5 Mei, 2013.
Setiausaha Agung MAICCI, Datuk AT Kumarajah ketika dihubungi Malaysiakini semalam berjanji memberi kerjasama penuh bagi sebarang siasatan berhubung dakwaan itu kerana pertubuhan berusia 65 tahun itu tidak 'mempunyai apa-apa untuk disembunyikan'.
"Kita tidak mahu integriti kita dipersoalkan. Jika ada soalan yang perlu dijawab, kita sedia untuk jawab mereka dalam forum yang betul.
"Kita akan bekerjasama dengan pihak berkuasa. Kita tidak mempunyai apa-apa yang hendak disembunyikan," katanya.

