Sekumpulan 19 pemilik tanah menghalang usaha Sarawak Energy Berhad (SEB) untuk menyiapkan pelaksanaan projek penghantaran tenaga elektrik 500KV miliknya, yang merupakan talian penghantaran kedua di negeri itu.

Ketua pegawai eksekutif Kumpulan SEB Datuk Torstein Dale Sjoveit berkata kumpulan itu terus enggan membenarkan SEB memasuki dan menggunakan tanah mereka untuk membina 67 buah lagi menara.

Bercakap kepada media bagi menyuarakan kebimbangannya berhubung masalah itu, Torstein berkata pendirian kumpulan itu menjadi penghalang utama bagi SEB menyiapkan projek bernilai RM2.7 bilion itu menjelang Mei atau selewat-lewatnya Jun tahun ini seperti yang disasarkan SEB.

"Tarikh asal bagi menyiapkan projek ini ialah akhir tahun lepas," katanya.

Talian penghantaran itu merentasi Similajau di Bintulu hingga ke Mapai di Kanowit (Pakej A, 86 peratus siap), dari Mapai ke Lachau di Bahagian Sri Aman (Pakej B, 84 peratus siap) dan dari Oya ke Similajau (Pakej 2, 83 peratus siap).

"Ia ada kaitan dengan pampasan. Pemilik tanah terbabit tidak bersetuju dengan apa yang kami tawarkan berdasarkan nilai rasmi tanah mereka yang terjejas dan harta yang terdapat di atasnya," kata Torstein sambil menjelaskan talian itu selari dengan grid penghantaran 275kV sedia ada.

"Walaupun kami telah membayar antara RM1,000 hingga RM3,000 bagi setiap menara mengikut saiz tanah yang diperlukan sebagai tapak dan jalan akses ke 2,029 menara lain, kumpulan pemilik tanah ini menuntut hingga sebanyak RM1 juta bagi setiap menara," katanya.

Beliau berkata pemilik tanah lain bersetuju dengan pampasan yang dikemukakan Jabatan Tanah dan Ukur negeri, yang membenarkan SEB membina 927 menara.

Berikutan keenganan mereka untuk bekerjasama menyebabkan kira-kira sejuta orang di zon selatan negeri ini mungkin menghadapi risiko mengalami kejadian terputus bekalan elektrik dua atau tiga kali setahun, katanya.

Torstein berkata adalah tidak praktikal untuk menggunakan jajaran baru kerana ia akan melewatkan kerja menyiapkan projek itu, selain melibatkan kos baru dan masalah serupa.

"Saya merayu kepada pemilik tanah berkenaan supaya memberi kerjasama penuh kepada kami untuk membolehkan projek infrastruktur yang sangat penting ini dilaksanakan dengan jayanya," kata beliau.

- Bernama