Khutbah: Ada umat Islam cuba sabotaj agama sendiri
Ketika berdepan pelbagai rintangan pembenci Islam, terdapat juga umat Islam yang mensabotaj agama mereka sendiri, kata mimbar.
Menurut teks khutbah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), situasi itu ternyata lebih berbahaya kerana golongan itu menjadi duri dalam daging.
”Apa yang membimbangkan mimbar, situasi ini lebih berbahaya kerana menjadi duri dalam daging yang merosakkan kewibawaan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah secara senyap-senyap dan halus.
”Bagi menghalang ancaman ini menjadi lebih serius, umat Islam perlulah menghindarkan diri daripada melakukan perkara-perkara yang boleh mengugat kesatuan ummah yang menjadi dasar hidup Ahli Sunnah Wal Jamaah di negara ini,” kata khutbah.
Khutbah hari ini menyentuh isu kesatuan umat dan mengelakkan perselisihan sesama Muslim.
”Islam bukanlah agama perselisihan dan perpecahan, malah Islam amat menganjurkan nilai berkasih-sayang sesama manusia,” kata mimbar lagi.
“Untuk itu, umat Islam perlulah menghindarkan diri daripada melakukan perkara-perkara yang boleh merosakkan kesucian nama Islam dan mencari jalan yang penuh berhikmah dan kebijaksanaan untuk mencari penyelesaian atas apa-apa permasalahan ummah yang berlaku.”

