Syarikat pengendali stesen televisyen tempatan, Channel 9 yang akan memberhentikan operasi selama setahun mulai 1 Februari ini, tidak membayar pampasan kepada pekerja yang diberhentikan.

Seramai lebih 90 pekerja stesen tersebut menerima surat pemberhentian pekerja daripada pihak syarikat, memaklumkan tentang perkara tersebut dua minggu lalu.

Sumber-sumber dalaman syarikat berkata, berdasarkan surat pemberhentian kerja yang diterima pekerja pada pertengahan bulan ini, pihak syarikat tidak menyebut akan membuat pembayaran pampasan kepada pekerja yang diberhentikan.

"Dalam surat tersebut hanya menyatakan pihak syarikat terpaksa menghentikan operasi Channel 9 berkuatkuasa 1 Februari ini untuk tempoh selama setahun. la langsung tidak menyentuh soal pampasan.

"Kami juga tidak tahu nasib selepas itu. Adakah kami diterima bekerja semula atau sebaliknya," katanya kepada malaysiakini hari ini.

Sumber itu menambah, ketua bahagian akan terus bekerja sehingga akhir bulan April manakala perkhidmatan kakitangan lain berakhir pada akhir bulan Mac ini.

Membawa haluan masing-masing

Katanya, tidak ada kesatuan sekerja di Channel 9 dan selepas ini masing-masing akan membawa haluan sendiri.

Seorang pekerja berkata, beliau menyertai Channel 9 lebih setahun lalu setelah ditawarkan kerja oleh `orang dalam' dengan ditawarkan gaji yang agak lumayan.

"Saya mengetuai satu bahagian di stesen televisyen ini dengan bidang tugas mendapatkan siaran televisyen dari pembekal luar negara untuk siaran Channel 9," katanya yang berkelulusan dari sebuah universiti luar negara.

Beliau yang turut diberhentikan kerja, masih belum membuat sebarang keputusan sama ada akan memohon untuk menyertai syarikat penyiaran tempatan lain.

"Saya akan bekerja di syarikat ini sehingga akhir Mac seperti yang diminta oleh syarikat...selepas itu saya akan menentukan hala tuju masa depan saya," katanya.

Beberapa pekerja Channel 9 lain ketika dihubungi bagaimanapun enggan mengulas dan mereka mendakwa isu ini terlalu sensitif dan mereka tidak dibenarkan bercakap kepada orang luar.

Beroperasi semula

Malaysiakini tidak dapat menghubungi Ketua Pegawai Operasinya, Aziz Hamdan untuk mendapatkan penjelasan lanjut mengenainya.

Beberapa hari lalu, akhbar tempatan melaporkan operasi Channel 9 akan dihentikan pada 1 Februari untuk penyusunan semula dan dijangka kembali beroperasi Februari tahun depan.

Channel 9 memulakan operasinya secara rasmi pada 9 September tahun lalu. Pengerusi Eksekutifnya, Tan Sri Abdul Rashid Manaff memiliki 51 pegangan dalam Channel 9 melalui Syarikat Anaza Sdn Bhd.

Akhbar Oriental Daily News melaporkan, dalam satu kenyataan semalam, Abdul Rashid menafikan penjualan Channel 9 kepada syarikat media terkemuka dalam negeri.

Sebaliknya, kata beliau, ianya masih dalam peringkat perbincangan dan penjualannya belum lagi diputuskan.

Sebelum ini, pihak media bersaing melapor bahawa Channel 9 dan stesen radio THR.fm akan dijual sebagai satu pakej dengan harga RM50 juta.