Hujan lebat yang turun sejak awal pagi tadi mengakibatkan banyak kawasan di sekitar bandar raya ini dinaiki air dan jalan

raya menjadi sesak kerana kenderaan tidak dapat melaluinya.

Sehingga pukul 11.30 tengah hari, hujan lebat masih dilapor berlaku yang membabitkan beberapa kenderaan rosak dan ditinggalkan di tengah jalan yang ditenggelami air.

Antara kawasan yang didapati dinaiki air ialah Hospital Umum Sarawak (HUS), Ibu Pejabat Polis Kontinjen di Jalan Badaruddin, Balai Bomba Padungan, Fakulti Perubatan Unimas, kampus UiTM Samarahan dan Padang Merdeka.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Sarawak, Farhan Sufyan Borhan berkata pihaknya turut memindahkan pesakit yang berada di tingkat bawah HUS ke tingkat lebih atas.

Beliau berkata sehingga kini pihak bomba menerima tidak kurang dripada 17 panggilan kecemasan setiap sejam mengenai banjir, sejak pukul 6 pagi.

Kawasan lain yang turut terlibat ialah Kampung Selipar Putus, Kampung Tabuan Dayak, Padungan, Batu Lintang, kawasan perumahan di Samarahan dan beberapa kampung di daerah Bau.

Farhan Sufyan berkata satu kejadian tanah runtuh turut dilapor berlaku di Km18, Jalan Serian Tebedu yang mengakibatkan laluan itu terputus.

Beberapa penduduk yang tinggal sekitar pinggir sungai terutama di bahagian Kuching dan Serian telah dipindahkan yang jumlahnya masih belum dipastikan.

- Bernama