Tan Sri Razali Ismail dinasihatkan supaya menumpukan perhatian kepada tugasnya sebagai utusan khas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk menyelesaikan krisis politik di Burma dan tidak mengalihkan tumpuannya kepada tugasan baru yang lain.

Selasa lalu, beliau dilantik sebagai utusan khas Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk mengendalikan program bantuan bencana tsunami di negara-negara yang teruk dilanda bencana tersebut.

Tugas barunya itu juga memerlukan beliau mengumpulkan dana di peringkat global untuk membiayai pembangunan semula kawasan yang terbabit.

Bagaimanapun, Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Tian Chua berkata, pihak kerajaan dan Razali khususnya, perlu memenuhi tanggungjawab moral masing-masing dan tidak mengecewakan harapan masyarakat dunia untuk melihat keamanan dan demokrasi wujud semula di Burma, yang kini di bawah pemerintahan tentera sejak 1962.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata, memandangkan tiada kemajuan

yang dicapai oleh Razali di Burma, maka beliau tidak sepatutnya diberi tugas baru yang memerlukan beliau melakukan perkara yang sama.

Tanggungjawab berat

Tian Chua berkata, tugas barunya itu memerlukan Razali berdepan dengan masalah perang saudara dan krisis politik di Sri Lanka dan Aceh dua negara yang paling teruk dilanda tsunami dan pada masa yang sama, masih bertanggungjawab mencari penyelesaian bagi krisis politik di Burma.

"Ianya jelas satu tanggungjawab itu yang cukup berat untuk dipikul oleh Razali kerana ia akan membabitkan usaha mengadakan rundingan damai di banyak barisan hadapan," kata Tian Chua.

Perdana Menteri dilaporkan berkata beliau melantik Razali kerana yakin dengan pengalaman luas bekas wakil tetap Malaysia ke PBB itu, dalam menangani permasalahan di peringkat rantau dan antarabangsa.

"Tanpa mencapai sebarang kemajuan di Burma, adalah sukar untuk kita mempunyai keyakinan bahawa beliau mampu untuk melaksanakan tugas barunya secara berkesan di Aceh dan Sri Lanka," tegas Tian Chua.

Razali, yang juga merupakan pengerusi Yayasan Salam berkata, rancangan pertamanya ialah untuk ke Aceh dan 'membaharui' hubungan dengan 'rakan-rakan lamanya' di luar Malaysia bagi mendapatkan sumbangan dana yang diperlukan.

Walaupun Tian bersetuju dengan usaha dan komitmen Malaysia untuk membantu mangsa tsunami, tetapi beliau berkata tugas tersebut sepatutnya diserahkan kepada calon yang lebih sesuai dan kurang beban tanggungjawab.

Kepentingan perniagaan

Sebelum ini PBB dan Razali menjadi sasaran kritikan kerana gagal mencapai kemajuan dalam mencari penyelesaian terhadap krisis politik di Burma, dan mengecam utusan khas PBB itu kerana mencari kesempatan perniagaan di negara itu.

Syarikat milik Razali- Iris Technologies - mengeluarkan kad pintar elektronik yang dijual kepada pemerintahan junta tentera di Burma.

Burma - yang nama rasminya Myanmar di bawah kerajaan tentera dianggap oleh masyarakat antarabangsa sebagai sebuah negara yang diperintah oleh diktator yang memenjara dan membunuh aktivis pro-demokrasi serta ahli-ahli politik pembangkang.

Pejuang demokrasi dan Pemenang Nobel Peace Prize, Aung San Suu Kyi pemimpin parti politik yang menang besar dalam pilihanraya umum 1990 di Burma dihukum penjara sejak bertahun-tahun lamanya dan parti pimpinannya juga dinafikan hak untuk memerintah negara itu.