Bilangan samseng jalan raya semakin meningkat, malah Menteri Kerjaraya, Datuk S Samy Vellu juga mendakwa pernah berdepan dengan samseng jalan raya.

Dalam laporan muka depan Sin Chew Daily hari ini, beliau dipetik sebagai berkata samseng jalan raya terdapat di mana-mana sahaja.

Pada minggu lepas, kata Samy Vellu, seorang samseng jalan raya telah mencuba berkali-kali untuk melanggar keretanya.

"Kami tidak ada kuasa untuk menangkap samseng jalan raya, hanya satu langkah yang dapat diambil, iaitu menyerahkan nombor kereta samseng kepada pihak polis," ujarnya.

Beliau memberitahu demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pusat MIC, sebagai mengulas kes seorang ahli Pemuda Umno, Muhammad Nazri Ismail yang dibelasah pembuli jalan raya, kelmarin.

Menurutnya, pelancaran sistem jalanraya 'bijak' di lebuhraya pada masa depan, akan menyekat samseng jalan raya daripada melarikan diri.

Kata beliau, pada masa itu, gambar semua kereta akan diambil dan disimpan dalam fail, manakala pihak berkuasa akan menjejaki samseng terbabit melalui rangkaian sistem tersebut.

Ditanya mengenai kemungkinan sistem yang sama turut dilaksanakan di jalan raya persekutuan, beliau berkata, tanggungjawab semasa kerajaan ialah untuk meneruskan kerja melebarkan jalan raya persekutuan.

Sarawak, Brunei guna kad pintar

Akhbar Oriental Daily News pula, memetik Menteri Pelancongan, Datuk Dr Leo Michael Toyad sebagai berkata Sarawak dan Brunei telah mula menggunakan 'kad pintar' sebagai dokumen perjalanan bagi mengukuhkan hubungan antara negara-negara Asean.

Selain itu, katanya, langkah ini juga bertujuan mempercepatkan perkembangan industri pelancongan.

Menurutnya, penggunaan kad pintar sebagai dokumen perjalanan di antara Sarawak dan Brunei adalah langkah pertama untuk merealisasikan penggunaan kad itu oleh rakyat Malaysia, Brunei, dan Singapura untuk perjalanan antara ketiga-tiga negara ini.

"Bagaimanapun, langkah ini hanya merupakan projek di peringkat kajian yang belum dilancarkan ke keseluruhan negara," katanya dalam sidang akhbar di pusat media 'Forum Pelancongan Asean 2005' semalam.

Menurutnya, pelancaran rasmi penggunaan 'kad pintar' akan ditentukan oleh Kementerian Luar Negeri dan Kementerian Hal-Ehwal Dalam Negeri.