Mahathir 'kaki gaduh', mati kita ikut dia, kata Nazri Aziz
Mereka yang mengikuti Tun Dr Mahathir Mohamad akan mati kerana bekas perdana menteri itu seorang "kaki gaduh", kata Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Abdul Aziz.
Dalam penilaiannya terhadap perdana menteri paling lama berkhidmat itu, katanya sejarah membuktikan kenyataannya.
“Dulu saya kawan (Datuk Seri) Anwar Ibrahim, dia ketua pemuda saya, saya penyokong kuat dia.
“Tapi bila Dr Mahathir bergaduh dengan dia, saya tak tahu kenapa. Dulu baik sangat. Bila dia bergaduh, kita pegang Mahathir, sebab tu parti selamat.
“Lepas itu dia (mahathir) buat pula kepada Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi), saya tak peduli dia dah, saya jaga Pak Lah,” katanya dalam satu temu bual dengan Malaysiakini dan FMT.
Nazri berkata Mahathir kini sedang ‘berperang’ dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang dituduh banyak melakukan rasuah dan salah laku.
Menurutnya, Mahathir juga pernah bergaduh dengan perdana menteri pertama, Tunku Abdul Rahman dan bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah.
“Semua dia bergaduh. Nasib baik Tun Razak meninggal awal, kalau tak itu pun dia bergaduh.
“Dia ni kaki gaduh. Kalau kita ikut dia, mati kita,” katanya.
Nazri berkata ahli Umno sudah “kutai” melihat perkembangan itu dan penekanan kini diberikan untuk menjaga kepentingan parti agar Umno tidak hancur.
Mengenai hasrat Mahathir untuk menyertai perhimpunan 27 Mac ini bagi menumbangkan Najib, Nazri berkata tindakan itu bermotifkan dendam.
Katanya, Mahathir mahu menyemarakkan kemarahan rakyat selepas tiada yang tampil membantah penyingkiran anaknya Mukhriz dari jawatan Menteri Besar Kedah bulan lalu.
“Kena ingat Mahathir ini pendendam. Jadi dia malulah, anaknya tak sampai sepenggal pun telah hilang jawatan menteri besar. Itu suatu perkara yang memalukan keluarganya.
“Apa yang lebih malu bila digugur tak ada siapa pun nak demonstrasi (27Mac). Jadi mungkin bukan saja untuk balas dendam terhadap Najib, beliau menyertai (Datuk) Zaid Ibrahim,” katanya.
Nazri berkata sepanjang tempoh Mahathir sebagai perdana menteri, beliau menentang sebarang bentuk demonstrasi jalanan.
“Waktu dia jadi perdana menteri dia tak bagi kita demonstrasi..., dia teringin nak demonstrasi. “Saya dah cakap dulu bukan dia boleh buat apa pun. Baling batu dekat gelas pun tak pecah. Biarlah dia,” katanya.
Walau bagaimanapun, Nazri yang juga adalah Ahli Parlimen Padang Rengas berkata meskipun Mahathir bebas untuk menghadiri perhimpunan itu tetapi mengingatkannya supaya tidak melanggar undang-undang.
Nazri juga meramalkan bahawa perhimpunan yang diilhamkan oleh bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim pada 27 Mac ini tidak akan berjaya.

