Ketua Setiausaha Sekretariat Pakatan Harapan Saifuddin Abdullah mengalu-alukan langkah Tun Dr Mahathir Mohamad keluar Umno hari ini.

Saifuddin bagaimanapun berharap langkahnya kali ini bertujuan menumbangkan Umno dan BN serta melakukan reformasi menyeluruh dalam politik negara.

“Moga kali ini ia bertujuan untuk tumbangkan Umno/BN dan lakukan reformasi holistik,” katanya.

Saifuddin, bekas timbalan menteri, sebelum ini telah mengambil langkah sama dengan keluar Umno dan menyertai PKR.

Mahathir hari ini mengisytiharkan keluar Umno buat kali kedua sebagai tanda protes terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Beliau berkata membuat keputusan itu kerana Umno bukan lagi Umno dan hanya menjadi parti untuk mempertahankan Najib sebagai presidennya.

Beliau pada 19 Mei 2008 pernah melakukan tindakan sama sebagai tanda protes kepada pentadbiran perdana menteri ketika itu Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Mahathir antara pemimpin yang lantang mengkritik pentadbiran Najib, terutamanya dalam isu syarikat pelaburan negara 1MDB yang sarat hutang.

Kedudukan Najib kini dilihat semakin mencengkam dalam Umno dan kerajaan, terutamanya selepas peguam negara membersihkannya daripada sebarang salah laku dalam kes derma RM2.6 bilion ke dalam akaunnya dan SRC International.

Reaksi lain

Berikut reaksi-reaksi lain berkaitan tindakan itu:

Datuk Zaid Ibrahim, bekas menteri Umno

“Khabar terbaik setakat ini. Tindakan ini akan buka mata orang Melayu, bahawa masa depan mereka bergantung kepada pemimpin yang baik dan jujur.

“Mereka harus tinggalkan parti yang membenarkan rasuah dan salah guna kuasa.”