Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berharap Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mengikuti jejak langkahnya dan meninggalkan parti itu.

"Saya harap begitu," kata Mahathir ketika ditanya sama ada Muhyiddin patut meninggalkan Umno sebagai bantahan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Menurut Mahathir, beliau akan berada di luar Umno selagi Najib memimpin parti itu.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di pejabatnya di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya, hari ini.

Selain Mahathir, turut meninggalkan Umno hari ini adalah isterinya,Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali dan bekas pemimpin Umno Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan.

Jumaat lalu, Majlis Tertinggi Umno menggantung Muhyiddin sebagai timbalan presiden kerana terus lantang menentang presiden parti Datuk Seri Najib Razak.

Sebelum ini, tujuh blan lalu, Najib memecatnya sebagai timbalan perdana menteri kerana mempertikaikan cara isu 1MDB ditangani.

Bercakap pada sidang akhbar di Putrajaya hari ini, Dr Mahathir berkata beliau tidak tahu jika tindakannya akan mendorong orang lain untuk keluar parti, tetapi tidak akan menghalang mereka daripada berbuat demikian.

Sejurus selepas sidang akhbarnya, bekas Naib Ketua Umno Batu Kawan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan turut mengumumkan bahawa beliau akan keluar Umno.

Sementara itu, Gerakan Ketua Cawangan Umno Malaysia (GKCM) memberitahu pemberita bahawa mereka akan mengadakan mesyuarat tergempar malam ini untuk membuat keputusan sama ada untuk kekal bersama parti.

GKCM mendakwa mempunyai lebih 400 ahli di seluruh negara.

Lihat Komen
ADS