PAS menegaskan calon yang menggantikan Gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akhtar Aziz mestilah individu yang bebas daripada politik dan tidak pernah menganggotai kabinet Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata ia bertujuan bagi menjaga imej dan integriti bank pusat itu yang disifatkan merupakan satu-satunya institusi yang masih dipercayai rakyat Malaysia.

"Sejajar dengan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar, Duta Malaysia ke AS Datuk Dr Awang Adek Hussin dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah yang diura-urakan akan menjadi calon potensi menggantikan Zeti adalah tidak sesuai untuk mengekalkan keyakinan rakyat dan antarabangsa terhadap BNM.

"Gabenor Bank Negara Malaysia yang baru mestilah seorang yang berani dan tegas, adil, berpihak pada kebenaran dan berkemampuan seperti Zeti untuk melakukan perkara yang betul apabila berdepan dengan isu seperti 1MDB dan ekonomi yang mencabar," katanya pada kenyataan media.

Tambahnya, kenyataan Zeti bahawa BNM perlu kekal sebagai badan bebas daripada pengaruh politik bukan sekadar peringatan tetapi amaran supaya kerajaan tidak mencabuli kebebasan bank pusat itu.

"Sehingga kini, PM masih tidak memberikan sebarang petanda bahawa beliau bersetuju dengan Zeti dalam perkara ini.

"Rakyat menanti jaminan PM bahawa Bank Negara akan bebas dari campurtangan ahli politik. Jaminan ini sangat penting bagi membina keyakinan pelabur luar dan integriti BNM dapat dipertahankan," katanya.

Zeti sebelum ini dilapor berkata dalam sejarah BNM, tiada ahli politik yang terlibat atau memegang mana-mana jawatan atau tugas di institusi berkenaan.

Beliau yang akan menamatkan perkhidmatan pada April berkata, Gabenor baru harus mempunyai kriteria dan latar belakang yang kukuh sesuai dengan jawatan disandang.