Mengikuti jejak langkah Tun Dr Mahathir Mohamad, bekas pemimpin Umno bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan juga memutuskan untuk keluar Umno hari ini.
Namun alasannya lebih mengerikan dengan mendakwa Umno ibarat mayat.
“Bagi saya Umno sudah tidak relevan lagi. Umno sudah dimandikan jenazah.
“Umno sudah dikafankan. Umno sudah dimasukkan ke dalam liang lahat untuk berada di alam barzakh buat selama-lamanya,” katanya dalam satu kenyataan.
Sambil mengakui beliau sudah hilang kepercayaan kepada kepimpinan Umno masa kini, katanya parti Melayu terbesar itu sedang menuju ke arah kehancuran kerana tindakan pemimpin ‘kaki bodek, minda lemah dan otak udang”.
Menurutnya pemimpin parti juga tersimpang jauh dari wadah perjuangan asal.
"Saya dengan secara rasminya mengisytiharkan untuk keluar dari Umno secara serta merta.
“Mulai saat ini saya tidak lagi seorang ahli Umno Cawangan Bukit Tambun atau Umno Bahagian Batu Kawan, Pulau Pinang.
"Secara jujurnya, saya sudah hilang kepercayaan kepada kepimpinan Umno masa kini yang sedang menuju ke arah menghancurkan parti,” katanya.
Khairuddin sebelum ini ditahan atas tuduhan mensabotaj ekonomi negara kerana tindakannya memfailkan laporan berhubung 1MDB dengan pihak berkuasa beberapa negara.
Beliau hari ini turut hadir pada sidang akhbar ketika Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan keputusannya untuk meninggalkan Umno.
Bekas perdana menteri itu menuduh Umno hanya menjadi parti untuk mempertahankan Najib sebagai presiden.
