Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah yakin dapat mengekalkan momentum Umno negeri itu, susulan tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad keluar parti.

Ahmad Bashah yang juga pengerusi Umno Kedah berkata demikian ketika diminta mengulas pengumuman langkah protes Dr Mahathir pada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak itu.

"Anggota parti Umno lebih taat pada Umno. Di Kedah saya fikir saya boleh tangani perkara itu," kata Ahmad Bashah.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis pelancaran buku Najib Razak Berjiwa Besar di ibu negara petang ini.

Terdahulu Dr Mahatir mengisytiharkan keluar Umno untuk kali kedua.

Beliau merasakan Umno kini bukan lagi sebuah parti yang memperjuangkan Melayu sebaliknya hanya mempertahankan Najib sebagai presiden.

Ahmad Bashah sebelum ini dilantik sebagai menteri besar baru Kedah menggantikan anak Dr Mahathir, Datuk Seri Mukhriz yang hilang sokongan anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN.

Penyingkiran Mukhriz juga dilihat mempunyai kaitan dengan tindakan Dr Mahathir melancarkan serangan keras berterusan kepada pentadbiran Najib, terutamanya dalam isu 1MDB.

Pintu kembali sudah tertutup

Menurut Ahmad Bashah tindakan Dr Mahathir itu adalah perkara biasa dan ia memang menjadi hak pemimpin veteran berkenaan.

"Bagi saya Tun M keluar Umno itu perkara biasa kerana itu hak dia. Sebelum ini pun dah biasa keluar dari Umno. Jadi kalau dia keluar lagi sekali biasa pada diri dia. Itu hak dialah.

"Dulu dia keluar tak jejas (apa-apa) pun," kata Ahmad Bashah.

Sementara itu, Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahadzir Khalid berkata tindakan Dr Mahathir ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan.

"Ia bukanlah mengejutkan sebab Tun M pernah keluar Umno pada 2008," kata timbalan pengerusi perhubungan Umno Kedah itu.

Bagi Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron pula apa yang dilakukan ayah kepada bekas menteri besar Kedah itu adalah perkara biasa.

"Ini perkara biasa untuk kami. Seperti biasa kami dah jangkakan ia akan berlaku," kata Idris.

Bagaimanapun, tegas anggota Majlis Tertinggi Umno itu pintu parti yang memperjuangkan Melayu itu kini sudah tertutup buat Dr Mahathir.

"Syarat untuk dia masuk Umno kembali adalah sesuatu yang tak dapat kami tunaikan.

"Saya tak kecewa sebab dah banyak kali kita lahirkan kekecewaan tapi akhirnya itu yang terbaik untuk beliau," kata Idris.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS