MCA perlukan pemimpin Cina lebih bagus dari Guan Eng
Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno Datuk Seri Nazri Aziz berkata MCA memerlukan pemimpin yang bagus untuk masyarakat tersebut.
Nazri yang yakin dengan kekuatan Umno, bagaimanapun berpendapat MCA telah kehilangan cengkaman terhadap masyarakat Cina dan memerlukan pemimpin yang boleh mengetuai mereka dalam negara ini.
"Saya bukan ahli MCA... saya tak tahu, sebab itu saya kata sekarang ni dalam MCA, perlu ada seorang pemimpin masyarakat Cina.
"Tidak dapat dinafikan (Ketua Menteri Pulau Pinang Lim) Guan Eng ini dilihat pemimpin masyarakat Cina.
"Saya nampak DAP dan MCA kepada masyarakat Cina tidak ada perbezaan. Masyarakat Cina lihat kepimpinan.
"Pemimpin itu harus hebat, kalau dia tak lebih hebat daripada Lim Guan Eng, macam mana nak tarik balik sokongan Cina untuk sokong MCA," katanya kepada Malaysiakini dan FMT di Hotel Shangri-la Kuala Lumpur.
Nazri berkata, beliau yakin dengan kekuatan Umno namun tidak berani bercakap mengenai BN.
Sebelum ini MCA hanya memenangi tujuh dari 37 kerusi Parlimen yang ditandinginya.
Manakala bagi kerusi negeri pula, MCA mendapat 11 daripada 90 kerusi yang ditandingi parti itu dalam pilihan raya umum (PRU) lalu.
Walaupun bergelut dengan pelbagai kontrovesi, Umno berjaya menambah bilangan kerusinya dari 79 kepada 88 dalam PRU lepas.
Nazri berkata, BN harus bekerjasama dan mengingatkan bahawa ketika pilihan raya pada 2008, mereka gagal memperolehi majoriti dua pertiga.
"Selepas 2008, tidak akan ada lagi pilihan raya yang mudah. Selepas 2008, tak ada lagi walkover mudah.
"Setiap pilihan raya akan sengit. Orang dah tak tengok parti, jadi kena pilih calon yang betul," katanya.

