Zaid Ibrahim seorang yang keliru, kata IGP
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar percaya bahawa bekas menteri undang-undang, Datuk Zaid Ibrahim sedang dalam kekeliruan.
Khalid mengulas gesaan bekas MP Umno itu kepada rakyat Malaysia supaya menyertai perhimpunan pada 27 Mac sebagai protes terhadap kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak.
"Saya fikir dia seorang yang keliru," kata Khalid kepada Malaysiakini.
Sebelum ini, Zaid, selepas mengundang amaran dari IGP berhubung perhimpunan yang dicadangkan itu, telah menjelaskan bahawa ia bukan satu perhimpunan awam dan akan diadakan di tempat tertutup.
Bagaimanapun, dalam catatan terbaru di blog terbarunya, bekas menteri itu sekali lagi menggesa rakyat Malaysia untuk berani tampil menghadiri perhimpunan itu.
Sementara itu, Khalid mengulangi bahawa Zaid akan berdepan dengan tindakan jika perhimpunan itu merebak ke jalanan.
Khalid berkata, beliau telah memberi amaran kepada Zaid bahawa, sebagai seorang peguam, beliau sepatutnya tahu hanya ada dua cara yang sah untuk menukar seorang perdana menteri, iaitu melalui pilihanraya atau undi tidak percaya di Parlimen.
Beliau juga menasihatkan Zaid supaya menggunakan prosedur yang betul jika beliau berhasrat untuk mengadakan perhimpunan di sebuah tempat tertutup.
Dalam perkembangan yang sama, Khalid mendedahkan bahawa polis akan memantau ucapan.
"Jika apa yang dikatakan adalah menghasut, kami akan mengambil tindakan seperti yang diperuntukkan oleh undang-undang," katanya.

