Terpulanglah kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk memutuskan sama ada mahu mencabar presiden Umno dalam pemilihan parti akan datang, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Beliau masih anggota Umno. Beliau boleh cabar tetapi terpulanglah padanya.

“Jika beliau mahu cabar, maka bersungguh-sungguhlah,” katanya kepada pemberita selepas hadir ke acara di ibu pejabat Pronton di Shah Alam hari ini.

Mahathir ( gambar ) ditanya sama ada beliau akan menggunakan pengaruhnya bagi mendesak Muhyiddin mencabar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebagai presiden Umno.

Mahathir, selepas lebih 20 tahun memimpin Umno, mengisytiharkan keluar Umno sebagai tanda bantahan terhadap pentadbiran Najib yang sedang terbelenggu pelbagai kontroversi.

Muhyiddin digantung tugas sebagai timbalan presiden Umno minggu lepas selepas sering mengeluarkan kenyataan senada dengan Mahathir, terutamanya dalam isu syarikat sarat hutang 1MDB.