Portal Umno anggap Dr M macam 'benda dalam tandas'
Susulan keputusannya meninggalkan Umno, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang suatu ketika dahulu dianggap ‘kebal’ menerima bidasan hebat daripada mereka yang menyokong setia kepimpinan negara hari ini.
Dalam serangan terbaru ke atas pemimpin berusia lebih 90 tahun itu, portal pro-Umno, Mykmu.net menggunakan analogi Mahathir keluar masuk Umno ibarat ke tandas awam sesuka hatinya.
“Apa pun, Mahathir keluar masuk Umno ini bukanlah isu yang besar sangat sebenarnya.
“Kalau dia anggap Umno ini macam tandas awam boleh keluar masuk ikut suka hati dia, maka kita pun boleh anggap dia macam benda yang dibuang dalam tandas itu jugaklah,” kata portal itu.
Semalam, Mahathir mengumumkan bahawa beliau akan meninggalkan Umno, parti yang dipimpinnya selama lebih dua dekad sebagai protes terhadap kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Ini kali kedua bekas perdana menteri itu meninggalkan Umno, pertama selepas perbezaan pendapat dengan penggantinya, Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Sementara itu, Mykmu berkata ia adalah satu kesilapan untuk mempercayai bahawa Mahathir meninggalkan Umno atas dasar prinsip.
“Bagi yang berpandangan Mahathir keluar Umno semalam kerana soal prinsip, mereka sebenarnya silap.
“Mahathir tidak pernah berprinsip dan tidak akan pernah ada,” katanya.
Merujuk segala dakwaan yang dibuatnya terhadap Najib, laman web itu berkata alasan bagi Mahathir meninggalkan Umno sepatutnya mencapai kemuncaknya pada Julai tahun lalu.
“Tapi kenapa dia baru keluar Umno semalam, kenapa tidak lebih awal dari itu?
“Sudah tentu sebab semua alasan itu bukan punca sebenar kenapa dia keluar Umno, tapi sebab lain.
“Apakah sebabnya itu, dia sajalah yang tahu, yang nyata prinsip bukan salah satu darinya,” kata artikel itu.

