Penganalisis tak jangka Muhyiddin buat keputusan dramatik
Tan Sri Muhyiddin Yassin yang digantung dari jawatan timbalan presiden Umno, sentiasa dilihat sebagai seorang yang setia kepada parti, melalui lebih 40 tahun penglibatan beliau dalam Umno dan malah menjadi orang kedua paling berkuasa dalam parti itu.
Inilah sebabnya mengapa Pengarah Eksekutif Merdeka Center, Ibrahim Suffian berpendapat bahawa Muhyiddin tidak akan mengikut jejak langkah bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad meninggalkan Umno.
"Bagi beliau mengambil tindakan yang lebih dramatik, sebagaimana Mahathir, seperti tidak mungkin pada masa ini," kata Ibrahim kepada Malaysiakini.
Katanya, Muhyiddin telah pun menyatakan pandangannya mengenai perbezaan antara beliau dan Presiden Umno Datuk Seri Najib Abdul Razak, dan mungkin bagi orang lain untuk "meneruskan perjuangan".
Apa yang tinggal sekarang, kata Ibrahim, ialah untuk menentukan sama ada beliau akan terus mengambil jalan penentangan terhadap parti atau sama ada beliau akan menerima perbezaan dan memainkan peranan yang kurang aktif.
Bagaimanapun ini akan menjadi permainan yang panjang, dan banyak perkara boleh berlaku, kata Ibrahim lagi, dengan menegaskan bahawa pilihan raya umum masih lama lagi, begitu juga dengan pemilihan kepimpinan Umno.
Muhyiddin, katanya, tidak menjana sokongan yang besar untuk dirinya selepas kemerosotannya dalam politik.
Bagaimanapun, Ibrahim mengakui bahawa Muhyiddin, sebagai anak jati Johor dan ketua Umno bahagian Pagoh, masih mempunyai pengaruh di negeri ini.
Namun, kata Ibrahim lagi, jika Muhyiddin menumpukan masa dan bekerja di sana, ia mungkin akan menghasilkan sesuatu.
Selepas mengumumkan keputusannya untuk keluar Umno, Mahathir berharap Muhyiddin akan mengikuti jejak langkah beliau dengan meletak jawatan dari Umno.
Muhyiddin digantung Jumaat lalu daripada jawatan timbalan presiden Umno kerana terus bercakap mengkritik Najib.
Pada Julai tahun lepas, Najib telah menggugurkan Muhyiddin sebagai timbalan perdana menteri kerana mengkritik cara beliau mengendalikan isu 1MDB.

