Deepak dapatkan khidmat Shafee untuk kes balu PI Bala
Peguam kanan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah kini akan mewakil ahli perniagaan permaidani kontroversial, Deepak Jaikishan dalam saman yang difailkan oleh balu penyiasat persendirian (PI), P Balasubramaniam.
Ini didedahkan apabila perkara itu dikemukakan untuk pengurusan kes di Mahkamah Persekutuan pada Jumaat lalu.
Peguam Americk Sidhu yang mewakili balu itu, A Santamil Selvi, mengesahkan dengan Malaysiakini bahawa Shafee akan mewakili Deepak. Walau bagaimanapun, tiada tarikh ditetapkan untuk mendengar kes berkenaan.
Deepak sebelum ini melantik peguam Wan Azmir Wan Majid untuk bertindak bagi pihaknya.
Pada 18 Disember tahun lalu, Mahkamah Rayuan memutuskan saman Santamil terhadap Deepak kerana konspirasi menyebabkan mereka hidup dalam ‘buangan’ sebagai mempunyai merit dan mengarahkan kes dibicarakan di Mahkamah Tinggi.
Hakim Mahkamah Rayuan, Vernon Ong berkata Santamil boleh menyaman Deepak kerana peranannya, dengan tujuh yang lain yang menghantar keluarga mereka ke India selama lima tahun bermula 2008 hingga 2013.
Tujuh lain yang disenaraikan itu adalah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak, isterinya Datin Seri Rosmah Mansor, adik-beradik Najib - Datuk Ahmad Johari dan Datuk Nazim -, peguam kanan Cecil Abraham, peguam M Arulampalam dan Pesuruhjaya Sumpah Zainal Abidin Muhayat.
Santamil dan tiga anaknya pada 2014 memfailkan saman RM1.9 juta untuk ganti rugi terhadap Najib, Rosmah, Johari, Nazim, Cecil, Arulampalam, Deepak dan Zainal Abidin atas alasan berkonspirasi untuk menyebabkan mereka hidup dalam buangan dari 2008 hingga 2013.

