Malaysia mempunyai hubungan yang lama dan mendalam dengan Arab Saudi yang bermula sejak zaman kesultanan Melaka, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Bercakap pada Forum Ekonomi Jeddah 2016 di Arab saudi, katanya hubungan antara kedua-dua negara itu berdasandarkan rasa saling menghormati dan keakraban persahabatan.

"Malah, saya bangga untuk mengatakan bahawa kita adalah seperti adik-beradik," katanya.

Perdana Menteri juga mengucapkan terima kasih kepada keluarga diraja Saudi atas sokongan mereka selama beberapa dekad.

"Kita sentiasa menghargainya, dan tidak akan melupakannya.

"Kepada dua penjaga masjid suci - Seri Paduka Raja Salman Abdullah dan raja-raja terdahulu yang dihormati, kami di Malaysia begitu bernasib baik kerana mempunyai rakan-rakan berterusan yang boleh dipercayai.

"Saya berharap forum ini dan lawatan saya ke Arab Saudi adalah antara peristiwa dan cara di mana negara kami boleh membalas persahabatan ini dan meningkatkannya lagi dalam semangat wasatiyyah (kesederhanaan) dan perkongsian," katanya.

Najib dibidas pelbagai pihak apabila wang RM2.6 bilion dan dana RM42 juta dijumpai berada dalam akaun bank peribadinya.

Dana RM42 juta itu adalah milik SRC International sebuah anak syarikat milik Kementerian Kewangan manakala wang RM2.6 bilion itu dikatakan adalah derma politik dari keluarga diraja Arab Saudi.

Di sebalik tindakan Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali membebaskan Perdana Menteri daripada sebarang pertuduhan rasuah atau salah laku, pengkritik berterus mendakwa berlakunya usaha ‘menutup’ kes berkenaan.

Najib juga menafikan menyalah-gunakan dana awam dan mendakwa tuduhan itu adalah komplot untuk menjatuhkannya.

[Baca berita penuh]