Penduduk kondominium di JB panik, rasai gegaran
Sejumlah penduduk di sebuah kondominium di Johor Bahru panik apabila kesan gegaran gempa bumi yang berlaku di Sumatera Barat malam tadi dapat dirasai di kediaman mereka di Kondominium Dwi Mahkota di Jalan Persiaran Tanjung, Taman Bukit Aliff Tampoi.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Johor Bahru, Rohaizat Hamdan berkata mereka menerima panggilan kecemasan daripada penduduk pada pukul 9.09 malam, sebelum sebuah jentera bersama lima anggota dikerahkan ke kondominium stinggi 19 tingkat itu.
Beliau berkata, sewaktu pasukannya tiba di tempat itu, gegaran masih dapat dirasai, menyebabkan kesemua penghuni bangunan terpaksa diarahkan turun ke kawasan lapang.
"Gegaran mula dirasai di tingkat 11 dan kami kini masih membuat pemeriksaan di sekitar bangunan tersebut dan selepas keadaan kembali selamat, penduduk akan dibenarkan pulang," katanya yang dihubungi Bernama.
Indonesia, bagaimana pun menarik balik amaran tsunami kepada penduduknya di wilayah Sumatera Barat susulan gempa bumi kuat berukuran 7.9 pada skala Richter pada pukul 8.49 malam ini.
Jabatan Meteorologi Malaysia berkata gegaran itu boleh dirasai di kawasan seperti Shah Alam, Subang, Klang di Selangor dan Johor.
Sementara itu, penduduk yang tinggal di apartment Pelangi Mall setinggi 23 tingkat di Kota Bharu, turut panik apabila bangunan didiami mereka bergegar susulan gempa bumi tersebut.
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kota Baharu, Pegawai Bomba Kanan II Ismail Mohd Taib berkata pihaknya menerima panggilan daripada penghuni apartment berkenaan pada 9.38 malam tadi.
"Kita telah membuat tinjauan dan setelah dibuat pemeriksaan, didapati tiada melibatkan mangsa yang terperangkap," katanya ketika dihubungi.
Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor menerima tiga panggilan kecemasan akibat merasai gegaran berikutan gempa bumi kuat yang melanda barat daya Sumatera malam tadi.
Penolong Pengarah Operasi JBPM Selangor Mohd Sani Harul berkata pihaknya menerima panggilan gegaran pertama kira-kira 8.54 malam melibatkan Flat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di Seksyen 7, Petaling Jaya.
Beliau berkata panggilan kedua diterima 15 minit kemudian daripada penduduk di Blok A, Seksyen 26/38, Kampung Baru Hicom, Shah Alam.
"Panggilan ketiga pula diterima satu minit selepas itu dari kawasan Tiara Park Home, Taman Bukit Ria, Kajang," katanya dalam kenyataan malam tadi.
Beliau, bagaimanapun berkata JBPM Selangor masih melakukan pemantauan terhadap kawasan terlibat bagi mengelak sebarang insiden yang tidak diingini.
Gempa bumi kuat berukuran 7.9 pada skala Richter berlaku di barat daya Sumatera pada 8.49 malam tadi.
Bagaimanapun, tiada ancaman tsunami terhadap Malaysia setakat ini, menurut Jabatan Meteorologi Malaysia.
Menurut jabatan itu, gempa bumi berkenaan berpusat kira-kira 649km Barat Daya dari Siberut, Indonesia, iaitu 1,163km Barat Daya dari Port Dickson, Negeri Sembilan.
Berikutan kejadian itu, gegaran dirasai di beberapa tempat di Selangor dan Johor, menurut jabatan meteorologi berkenaan.
- Bernama

