Keputusan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk kekal dalam Umno memberi tamparan moral dari segi politik kepada Tun Dr Mahathir Mohamed, kata bekas menteri penerangan Tan Sri Zainuddin Maidin.

Bagaimanapun katanya, keputusan Muhyiddin itu mungkin dibuat berdasarkan strategi berbeza berbanding tindakan Mahathir yang keluar daripada Umno.

"Tentunya keputusan itu akan mengecewakan Mahathir sebab Muhyiddin tidak ikut jejak langkah beliau.

"Muhyiddin pula mungkin berasa lebih baik beliau terus berada dalam Umno kerana masih berpeluang untuk mencabar kepimpinan melalui pemilihan parti akan datang," katanya kepada Malaysiakini .

Muhyiddin yang kini digantung tugas sebagai timbalan presiden Umno mengumumkan untuk terus kekal dalam parti itu.

Zainuddin berkata, keputusan ahli parlimen Pagoh itu turut memberi kelebihan kepada pihak yang mahu menggulingkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

"Mereka akan berjuang melalui dua sisi berbeza untuk menggulingkan Najib.

"Mahathir dari luar (Umno) dan Muhyiddin dari dalam parti. Muhyiddin masih boleh mencabar kepimpinan Umno untuk bertanding dan bertanding jawatan sebagai presiden Umno.

"Kalau dia keluar parti, dia tidak lagi boleh mencabar kepimpinan dalam Umno," katanya.

Muhyiddin digantung tugas sebelum ini setelah tidak sehaluan dengan Najib selaku presiden dalam isu berkaitan syarikat negara sarat hutang 1MDB.

Selain itu Mahathir turut berkongsi pendirian sama dengan Muhyiddin sebelum ini memilih untuk keluar daripada Umno sebagai kemuncak tanda protesnya terhadap kepimpinan Najib.