Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Sidang media Mahathir, pemimpin pembangkang esok
Diterbitkan:  Mar 3, 2016 1:00 PM
Dikemaskini: 8:56 AM

Bekas Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar mengesahkan pemimpin pembangkang akan bertemu dengan Tun Dr Mahathir Mohamad esok bagi menandatangani deklarasi menuntut Datuk Seri Najib Razak berundur.

Bagaimanapun, anggota Parlimen Pokok Sena itu berkata kehadiran beliau tidak mewakili PAS sebaliknya "sebagai rakyat Malaysia yang insaf akan kebejatan dilakukan" perdana menteri kelima itu.

“Esok adalah (untuk) deklarasi warganegara Malaysia daripada kalangan pemimpin pelbagai parti dan pelbagai latar belakang untuk menuntut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berundur dari tampuk pemerintahan.

“Saya tetap akan sertai deklarasi meskipun PAS telah menyatakan mereka tidak akan terlibat. Kehadiran saya tidak mewakili parti tetapi sebagai rakyat Malaysia," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Menurut Mahfuz yang tersingkir daripada jawatan dalam PAS tahun lalu, beliau terlibat dalam deklarasi berkenaan atas dasar keinsafan.

Menurut Mahfuz, pertemuan tersebut dijangka diadakan kira-kira jam 3.30 petang di Rumah Kelab Persatuan Alumni Universiti Malaya, Kuala Lumpur.

Sementara itu Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Salahuddin Ayub ketika dihubungi Malaysiakini mengesahkan pertemuan tersebut tetapi tidak mengetahui butiran lanjut mengenainya.

“Saya dijemput untuk ke majlis itu esok tetapi butiran lanjut kita belum tahu lagi. Jemputan ada, (saya) akan pergi dan tengoklah apa yang berlaku esok,” katanya.

Faktor pertama kejutan

Terdahulu Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar berkata sidang media petang esok itu diadakan bagi mengulas lanjut cadangan membentuk muafakat bagi 'menyelamatkan Malaysia', susulan masalah politik semasa negara.

"Ya, esok kami akan sertai sidang media bersama Tun Dr Mahathir jam 3.30 petang," kata Nurul Izzah ( gambar ) ketika ditemui wartawan selepas sidang medianya di ibu pejabat parti itu di Petaling Jaya, hari ini.

Mengulas potensi kerjasama kedua-dua pihak, Nurul Izzah berkata ia tidak boleh berasaskan dendam terhadap Najib tetapi keikhlasan untuk menyelesaikan kemelut politik.

“Bukan isu peribadi, bukan isu dendam, dan marah.

“Tetapi bagaimana untuk merungkai permasalahan dan skandal yang melanda Malaysia menerusi langkah-langkah konkrit untuk menjalankan dan melaksanakan reformasi," kata Nurul Izzah.

Harapan sebelum ini mendedahkan mahu membentuk sebuah kerjasama pelbagai pihak bagi mendepani isu-isu dalam negara, termasuk isu ekonomi, perkauman dan 1MDB.

"Pada saya mungkin faktor pertama yang beri kejutan (pada pembangkang), adalah kenyataan Tun Mahathir bahawa beliau sedia untuk berkongsi lokap dengan Anwar.

“Maka sebaiknya kita nantikan dalam sidang akhbar esok secara rasmi apa yang sedang dicadang atau ditawarkan (Dr Mahathir)," jelas Nurul lagi.

Dr Mahathir sebelum ini mengumumkan keluar Umno bagi menyatakan kemuncak bantahannya terhadap kepimpinan Najib.

Lihat Komen
ADS