Polis: Pelajar reka cerita diculik, takut dimarahi ibu
Cerita kononnya seorang pelajar sekolah diculik di Sungai Petani dua hari lepas dan menjadi viral di media sosial adalah rekaan semata-mata, kata Ketua Polis Daerah Kuala Muda, ACP Md Zukir Md Isa.
Beliau berkata perkara itu diada-adakan kerana pelajar lelaki tingkatan satu tersebut bimbang dia dimarahi ibunya.
"Hasil siasatan, pelajar berkenaan menyatakan kejadian itu sebenarnya tidak wujud dan cuma cerita rekaannya semata-mata. Malah tidak wujud suspek seperti yang didakwanya.
"Motif pengadu (pelajar) berbuat demikian ialah kerana dia takut dimarahi oleh ibunya kerana lewat pulang dari sekolah. Dia berjalan kaki seorang diri untuk pulang ke rumahnya yang terletak kira-kira 500 meter dari sekolah," katanya.
Pelajar berkenaan mendakwa dia cuba diculik dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal ketika dia berada luar kawasan sekolah semasa menunggu ibunya datang menjemputnya dan kerana itu dia tidak ditemui ibunya ketika datang mengambilnya.
Md Zukir berkata kes itu disiasat kerana membuat laporan palsu, namun akan menyarankan kepada pihak pendakwa raya agar tidak meneruskan kes tersebut.
- Bernama

