K’jaan tangguh program MyBeras kepada miskin tegar
Program MyBeras yang memberikan 20 kilogram beras percuma kepada golongan miskin tegar setiap bulan yang dijadualkan bermula Februari ini, kini ditangguhkan.
Sebaliknya, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, program yang membabitkan peruntukan antara RM100 hingga RM120 juta itu akan bermula pada Mei ini.
Menurutnya, penangguhan itu bagi membolehkan kerajaan mengenal pasti golongan sasar bagi memastikan tiada keluarga yang layak tercicir menerima bantuan berkenaan.
“Kementerian memerlukan sedikit lagi masa bagi menyemak senarai penerima untuk memastikan hanya yang layak menerima bantuan.
“Kita menyasarkan kira-kira 100,000 orang akan menerima bantuan ini,” kata Ahmad Shabey yang dipetik portal Utusan Malaysia hari ini.
Program MyBeras, iaitu bantuan beras kepada golongan miskin diperkenalkan pada 26 Januari lalu oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semasa ucapan pengubahsuaian Bajet 2016.

