Kalau Umno tak mahu debat, forum pun boleh, kata PAS Tganu
PAS mendakwa Ketua Penerangan Umno Terengganu, Ahmad Shabery Chik sengaja mencari jalan untuk melengah-lengahkan sebagai satu helah untuk membatalkan debat antara kedua parti itu berhubung isu kutipan cukai pintu.
PAS mendakwa Ketua Penerangan Umno Terengganu, Ahmad Shabery Chik sengaja mencari jalan untuk melengah-lengahkan sebagai satu helah untuk membatalkan debat antara kedua parti itu berhubung isu kutipan cukai pintu.
"Saya amat meragui Ahmad Shabery sanggup berdebat dengan PAS kerana sehingga hari ini tiada sebarang tanda beliau mahu melihat debat ini berjaya," kata Ketua Penerangan PAS Terengganu, Yahya Ali hari ini.
"Apa yang saya nampak, suatu hari nanti, beliau akan membuat satu helah baru supaya debat ini dibatalkan. Kalau anda ingat pada pertengahan 1980-an, Umno menggunakan Majlis Raja-Raja untuk membatalkan debat kedua-dua parti tersebut," katanya.
Minggu lalu, Ahmad Shabery berkata, Umno Terengganu memutuskan debat tersebut diadakan pada awal Mac di Kompleks Seri Iman kerana ia sukar diadakan pada bulan ini (Februari) memandangkan kesibukan menghadapi perayaan Tahun Baru Cina serta Konvensyen Umno Terengganu pula.
Bagaimanapun, kata Yahya, sehingga hari ini, Ahmad Shabery ataupun wakil Umno negeri belum lagi menghubungi pihaknya untuk perbincangan mengenai persediaan bagi mengadakan debat tersebut.
'Kita tidak boleh setuju di atas kertas akhbar sahaja. Umno perlu datang untuk mengesahkannya," katanya.
Isu debat berhubung cukai pintu itu tercetus apabila Ahmad Shabery mencabar PAS berdebat kerana mendakwa parti itu tidak memansuhkan cukai pintu sewaktu memerintah Terenggganu, tetapi sebaliknya hanya tidak membuat kutipan untuk memenuhi janji pilihanrayanya.
Guna orang tengah
Sehubungan itu, Yahya berkata, PAS Terengganu sedia menggunakan orang tengah untuk membantu memastikan debat dengan Umno mengenai isu cukai pintu berjaya diadakan, kata Ketua Penerangan PAS Terengganu, Yahya Ali.
Malah katanya, jika Umno mahu menukar debat kepada forum, PAS sedia menerimanya kerana PAS ingin membersihkan namanya selepas dituduh oleh Umno, menggunakan isu cukai pintu untuk kepentingan politik.
"Sama ada perlu mengguna orang tengah atau debat dibatal dan digantikan dengan forum, PAS akan menerimanya asalkan ia menjadi kenyataan," katanya ketika dihubungi hari ini.
Perbincangan pusingan pertama bermula apabila PAS menghantar wakilnya menemui Umno Terengganu untuk membincangkan tentang format debat, tempat, masa dan pendebat bagi kedua-dua pihak.
Umno mencadangkan debat diadakan pada awal Mac depan bertempat di Kompleks Seri Iman, Bukit Besar, Kuala Terengganu dengan Ahmad Shabery dan Exco Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Ahmad Said, mewakili Umno
PAS pada dasarnya setuju dengan syarat tersebut tetapi Yahya yang disebut-sebut sebagai salah seorang pendebat PAS, mahu Umno menemui pihaknya untuk mengesahkan debat tersebut.
Menurutnya, PAS sedia menunggu sehingga Ahmad Shabery memberi kata putus tentang tarikh debat dan sedia menerimanya walaupun mungkin terlewat sedikit daripada yang dijadualkan.
Kepentingan peribadi
Bagaimanapun, beliau mengingatkan Ahli Parlimen Kemaman itu supaya tidak mengambil kesempatan daripada isu debat itu untuk mendapatkan `kepentingan politik' peribadi.
"Kalau beliau mahu menjadikan debat ini sebagai batu loncatan politik, PAS tidak akan layan," tegasnya.
Mengenai kenyataan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Idris Jusoh bahawa PAS sengaja membesar-besarkan isu cukai pintu tersebut, Yahya berkata, Umno Terengganu tersepit kerana mereka tidak membuat apa-apa meskipun hampir dua tahun memerintah negeri ini.
"Idris kata BN Terengganu banyak wang hasil minyak tetapi mengapa tidak boleh membuat kebajikan kepada rakyat sehingga cukai pintu pun dikenakan kepada rakyat yang miskin," katanya.
Sebelum ini malayskini melaporkan, PAS setuju menerima semua syarat yang ditetapkan oleh Umno Terengganu untuk mengadakan debat terbuka mengenai isu cukai pintu di negeri tersebut pada minggu pertama bulan Mac ini.
Sehubungan itu, Yahya meminta Umno Terengganu menemui pihaknya bagi berbincang dan menetapkan tempat, tarikh, wakil pendebat dan format yang mahu digunakan.
"Mereka boleh datang bila-bila masa kerana PAS tidak mengenakan sebarang syarat. Selagi Umno tidak datang dan berunding, maka masalah ini tidak akan selesai dan tentu sekali debat tidak dapat diadakan," katanya.
Pada masa yang sama, Yahya yang juga bekas Exco Kerajaan Terengganu mendakwa Ahmad Shabery cuba melengah-lengahkan debat ini kerana beliau lebih banyak bercakap kepada pihak lain (media massa) daripada membuat kerja.

