Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Bekas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir hari ini memberitahu, bapanya Tun Dr Mahathir Mohamad memahami pendiriannya yang ingin kekal dalam Umno.

Mukhriz berkata, sebelum sidang media pagi tadi, beliau terlebih dahulu berbincang dengan bapanya berhubung pendiriannya serta bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mahu terus berada dalam parti Melayu itu.

"Saya ada bincang dengan Tun semalam. Dia faham dengan pendirian saya dan Tan Sri (Muhyiddin)," katanya dalam temubual bersama Malaysiakini di ibu negara hari ini.

Ditanya mengenai pandangannya apabila Mahathir sekali lagi keluar daripada Umno, Mukhriz berkata ia bukan perkara baru.

Jelasnya, mantan presiden Umno terdahulu juga pernah meninggalkan parti Melayu tersebut antaranya Datuk Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman dan Tun Hussein Onn.

"Ini bukan perkara yang pelik kerana lebih ramai mantan presiden parti yang tinggalkan Umno sebelum ini. Bukan Tun Mahathir sahaja.

"Daripada pengasas Umno itu sendiri sampailah almarhum Tunku Abdul Rahman, Tun Hussein pun tinggalkan parti.

"Ini bukan perkara luar biasa," katanya.

Beliau bagaimanapun mengakui tindakan bapanya itu memberi kesan kepada Umno dan mempengaruhi ahli di peringkat akar umbi.

Katanya perkara itu dapat dilihat apabila ada ahli Umno menunjukkan mereka memotong kad keahlian parti dan menjadi viral di laman sosial.

"Saya akui ia punya kesan dan impak besar di peringkat akar umbi. Dapat dilihat di laman sosial ada gambar yang tunjuk ahli yang potong kad keahlian mereka," katanya lagi.

Isnin lalu, Mahathir bersama isterinya Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali mengumumkan keluar dari Umno. Ia dibuat sebagai tanda protes terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Malah, bekas perdana menteri selama 22 tahun itu juga sebelum ini berharap agar Muhyiddin mengikut jejak langkahnya itu.

Bagaimanapun Muhyiddin bersama Naib Presiden Umno Datuk Seri Shafie Apdal serta Mukhriz sendiri membuat keputusan untuk kekal bersama parti Melayu terbesar itu.

Lihat Komen
ADS