'Muhyiddin tak boleh cabar pemecatan di mahkamah atau ROS’
Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor hari ini berkata keputusan Majlis Tertinggi Umno untuk menggantung Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai timbalan presiden parti tidak boleh dicabar di mahkamah atau dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS).
"Mengikut Seksyen 18C Akta Pertubuhan 1966, pertikaian atau keputusan parti tidak boleh dicabar di mahkamah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, Seksyen 16 Akta Pertubuhan yang membolehkan ROS untuk membatalkan pendaftaran parti jika pertikaian parti tidak diselesaikan, tidak terpakai dalam hal penggantungan Muhyiddin.
"Saluran yang patut diambil ialah berbentuk dalaman parti sahaja," katanya.
Tengku Adnan berkata Majlis Tertinggi menggunakan "kuasa sedia ada dan lebihan" untuk menggantung Muhyiddin dan ini tidak sama seperti memecat bawah fasal 9.12 perlembagaan Umno.
Beliau berkata penggantungan itu adalah mengikut fasal 10.15 perlembagaan parti.
"Majlis Tertinggi Umno adalah badan keputusan tertinggi di dalam ketiadaan perhimpunan agung tahunan. Ini jelas dalam fasal 9.1 perlembagaan Umno.
"Apa jua keputusan yang dibuat oleh Majlis Tertinggi akan dimaklumkan kepada perhimpunan agung bila tiba masanya," katanya.
Muhyiddin minggu lalu digantung sebagai timbalan presiden kerana lantang membidas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang juga adalah presiden Umno.
Muhyiddin hari ini mendakwa penggantungannya tidak mengikut prosedur dan berkata beliau akan membawa perkara itu kepada ROS.
Menurutnya, beliau akan kekal sebagai ahli Umno walaupun bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad telah keluar parti sebagai protes terhadap Najib yang dituduhnya mengamalkan rasuah.

