Orang ramai tidak seharusnya mempersendakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isterinya Datin Rosmah Mansor untuk menunaikan umrah, kerana agama adalah satu perkara peribadi.

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainal Abidin berkata, sekalipun berbeza pandangan politik, namun urusan ibadah adalah antara individu itu dan Tuhan.

"Pada pandangan saya, sekali pun jika berbeza pendapat politik ataupun tidak suka dengan beliau, soal ibadah seseorang biarlah antara dia dan Tuhan.

"Tidak perlu kita mempersendakannya. Lagipun saya tidak lihat beliau kata bahawa ibadahnya itu memadamkan segala apa yang dipertikaikan oleh rakyat," katanya dalam catatan di Facebook.

Asri berkata bahawa Allah mengutuk dan memberi ampun kepada siapa yang dikehendakinya.

"Urusan beliau (Najib) dan rakyat adalah apa yang membabitkan soal ketelusan dan amanah dalam pentadbiran negara ini.

"Persoalan peribadi seperti kenapa beliau solat, puasa, umrah dan haji, hendaklah diserahkan kepada Allah. Hanya Allah Yang Mengetahui hakikat setiap hambaNya," ujarnya lagi.

Mufti itu menjawab kritikan terhadap Najib di media sosial, selepas Perdana Menteri berkongsi gambar beliau dan isterinya mengerjakan umrah.

Najib berada di Mekah sebagai sebahagian daripada lawatan kerja ke Arab Saudi.

Perdana Menteri itu menjadi sasaran pengguna media sosial, terutama dalam isu sumbangan RM2.6 bilion.

Najib bagaimanapun menafikan dakwaan menyalahgunakan dana awam untuk kegunaan peribadi.