Masalah cuaca, makanan dan kekurangan kemudahan teknologi dikenalpasti sebagai antara penghalang kepada pelajar asing untuk belajar di pusat pengajian tinggi swasta (IPTS) di negara ini.

Beberapa pusat pengajian swasta tempatan ketika dihubungi mendakwa IPTS juga tidak mempunyai nama yang besar seperti Universiti Oxford atau Universiti Harvad yang boleh menjadi sumber tarikan besar kepada mereka.

Pegawai Perhubungan Awam Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Norlin Ibrahim berkata, soalan pertama pelajar asing mahu tahu tentang pendidikan di Malaysia ialah mengenai cuaca dan makanan.

"Pelajar Eropah dan beberapa negara Asia seperti Korea Selatan dan China rata-rata merungut kerana masalah cuaca yang menurut mereka terlalu panas dan mereka tidak tahan dengan keadaan panas sepanjang musim.

"Pelajar Arab dan Afrika pula mengadu tentang masalah makanan yang bagi mereka tidak boleh diterima oleh tekak penuntut dari sebelah sana," katanya.

Menurutnya, mereka juga bertanya satu persatu tentang nama-nama universiti di Malaysia dan kebanyakan mereka menjawab tidak tahu mengeni universiti tersebut.

Ini bermakna, katanya, nama yang besar memainkan peranan yang penting untuk menarik pelajar asing menyambung pengajian mereka ke Malaysia.

Norlin berkata, maklumat ini diperolehi ketika Bahagian Pemasaran UniKL mengadakan promosi ke luar negara dalam usaha menarik mereka untuk melanjutkan pelajaran ke universiti tersebut.

Sasaran Timur Tengah, Afrika

Ketika ini UniKL belum menerima kemasukan pelajar luar tetapi sibuk mengadakan promosi bagi mendapatkan pelajar asing ke universiti tersebut.

"Sasaran kita ialah pelajar dari Timur Tengah dan Afrika terutama Morocco, Libya dan Nigeria yang kebanyakannya berminat dengan kursus kejuruteraan yang kita tawarkan," katanya.

Sementara itu, seorang jurucakap Universiti Tun Abdul Razak (Unitar) berkata, pihaknya sukar untuk menarik pelajar asing kerana kemudahan pendidikan di negara ini kurang memuaskan berbanding negara maju.

Menurutnya, hanya pelajar dari Indonesia, Thailand, Oman dan beberapa negara Afrika yang mahu ke negara ini kerana pendidikan tinggi negara lebih baik daripada negara mereka.

"Daripada kira-kira 40,000 pelajar, hanya 100 orang pelajar luar yang menyambung pelajaran di Unitar," katanya sambil menolak tanggapan Unitar adalah khusus untuk pelajar Islam sahaja.

Bagaimanapun, menurut beliau, pihaknya sedang berhubung dengan pihak-pihak tertentu di China untuk menawarkan tempat kepada pelajar dari China untuk melanjutkan pelajaran di Unitar.

Unitar sebagai sebuah pusat pengajian tinggi swasta tidak menggunakan kuota pengambilan pelajar tetapi keutamaan tetap diberikan kepada rakyat tempatan, katanya.

Kos pengajian di Unitar adalah kira-kira RM30,000 untuk pengajian diploma selama tiga tahun. Bagaimanapun, ia bergantung kepada bidang pengajian yang diambil.