Empat orang dilaporkan berada dalam keadaan kritikal di Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh selepas makan makanan yang dipercayai dicemari racun serangga di sebuah kedai makan di Batu Gajah.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam, Integrasi Nasional dan Kampung Baharu Perak Datuk Dr Mah Hang Soon yang mengesahkan kejadian itu berkata makanan itu dipercayai dicemari racun serangga jenis organo fosfat.

Semua yang kritikal itu telah dimasukkan ke wad, katanya ketika dihubungi Bernama malam tadi.

Beliau bagaimanapun menafikan 'viral' yang mengatakan terdapat individu telah meninggal dunia akibat kejadian itu.

Mah menasihati orang ramai supaya tidak bimbang dan memberi jaminan akan menyiasat punca makanan dicemari racun serangga itu.

- Bernama