Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim percaya bahawa dakwaan yang Tan Sri Muhyiddin Yassin memulakan konspirasi "untuk menggulingkan presiden parti" Datuk Seri Najib Razak sejak tahun lalu lagi, hanyalah cerita rekaan semata-mata.

Sebaliknya beliau percaya cerita itu ditimbulkan oleh pihak tertentu hanyalah bagi mempertahankan Najib untuk terus memimpin negara ini.

“Nak komen pun rasa nak gelak. setiap kali ada masalah besar (berita itu ditimbulkan), saya percaya tidak ada konspirasi," katanya.

Zahid percaya ia adalah rekaan mereka yang tidak ada kerja lain selain daripada mempertahankan Najib.

"Pada saya ini tak masuk akal lah,” katanya dalam wawancara bersama Malaysiakini , FMT dan Berita Daily.

Sebelum ini Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno Datuk Seri Nazri Aziz mendakwa sejak tahun lagi Muhyiddin Yassin memulakan konspirasi bagi menggulingkan Najib.

Khamis lalu, Muhyiddin menafikan bahawa beliau adalah sebahagian daripada konspirasi untuk menjatuhkan Najib.