Polis Diraja Malaysia (PDRM) menafikan terlibat meminta orang ramai membekalkan butiran peribadi melalui emel kononnya bagi memudahkan pemindahan dana ke akaun bank mereka.

Ketua Komunikasi Korporat PDRM, ACP Datin Asmawati Ahmad berkata emel palsu yang didakwa ditandatangani oleh Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohmad Salleh memaklumkan bahawa penerima mempunyai dana di POSB Bank di Singapura.

Asmawati berkata penerima e-mel juga diminta untuk menghubungi seorang lelaki bernama 'Encik JK Ritchie' yang kononnya pengurus bank berkenaan untuk membekalkan butiran peribadi.

"Ini adalah emel palsu dan Datuk Seri Mohmad Salleh mahupun PDRM tidak pernah terlibat di dalam sebarang bentuk sebaran e-mel sedemikian.

"Orang ramai dinasihat untuk tidak menghubungi individu yang dimaksudkan dalam emel berkenaan kerana ia jelas merupakan satu penipuan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata orang ramai dinasihatkan untuk berhati-hati dalam menilai setiap emel atau apa jua bentuk mesej meragukan yang diterima melalui rangkaian komunikasi serta menghubungi pihak berwajib untuk pengesahan lanjut.

- Bernama