Operasi tangkap pendatang haram ditangguhkan lagi
Operasi besar-besaran menangkap pendatang haram selepas tamat tempoh pengampunan semalam, telah ditangguhkan sehinggalah tarikh baru ditetapkan oleh Menteri Hal-Ehwal Dalam Negeri, kata Ketua Pengarah Rela, Datuk Mahadi Arshad.
Operasi besar-besaran menangkap pendatang haram selepas tamat tempoh pengampunan semalam, telah ditangguhkan sehinggalah tarikh baru ditetapkan oleh Menteri Hal-Ehwal Dalam Negeri, kata Ketua Pengarah Rela, Datuk Mahadi Arshad.
Katanya, operasi yang sepatutnya bermula tengah malam tadi itu - yang membabitkan anggota Jabatan Imigresen, polis, Rela dan Rukun Tetangga - ditangguhkan untuk membolehkan pihak berkuasa menganalisis jumlah pendatang yang masih berada di negara ini.
Ini merupakan kali ketiga operasi menangkap pendatang haram ditangguhkan selepas ditunda ditunda pada 14 November dan 31 Disember lalu.
Bernama memetik Mahadi sebagai berkata, penangguhan itu diputuskan dalam satu mesyuarat di Kementerian Hal-Ehwal Dalam Negeri di Putrajaya semalam yang dipengerusi menteri berkenaan, Datuk Azmi Khalid.
"Tarikh baru itu kita tidak akan umumkan (sekarang). Kalau kita umum, nanti pendatang ini akan bersembunyi. Kita tangguh bagi menganalisa jumlah pendatang yang masih berada di negara ini.
"Selepas itu, kita akan lancar operasi besar-besaran untuk menangkap mereka," katanya ketika diminta mengulas laporan akhbar hari ini mengenai penangguhan operasi tersebut.
Mahadi bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai mesyuarat berkenaan tetapi sekadar menyatakan "operasi penangkapan tidak dibatalkan" tetapi ditangguhkan sehingga tarikh baru.
Bersiap sedia
"Kita sudah menyediakan 35,000 anggota kita yang akan bersiap sedia untuk dikerahkan pada bila-bila masa. Sebaik sahaja arahan penangkapan dikeluarkan, kita akan mulakan operasi," katanya.
Sementara itu, Ketua Pengarah Imigresen Malaysia Datuk Mohd Jamal Kamdi ketika dihubungi enggan mengulas mengenai penangguhan itu dan berkata: "No comment".
"Saya tidak menghadiri mesyuarat di Putrajaya semalam. Jadi saya tidak mempunyai sebarang komen mengenai perkara itu," katanya.
Sementara itu, AFP melaporkan penangguhan tersebut dipercayai dibuat atas permintaan kerajaan Indonesia, Filipina dan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
Kerajaan Indonesia yang mana rakyatnya adalah yang paling ramai masuk ke negara ini tanpa izin, telah merayu supaya tempoh pengampunan itu dilanjutkan selama tiga bulan lagi.
Dutanya ke Malaysia memberitahu akhbar The St ar, Setiausaha Negara itu, Usril Ihza Mahendra akan tiba di Kuala Lumpur hari ini untuk menyampaikan surat dari Presiden Susilo Bambang Yudhoyono kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berhubung perkara tersebut.
Di Manila, akhbar Philippine Star juga melaporkan kerajaan negara itu turut meminta Malaysia supaya melanjutkan tempoh pengampunan itu selama sebulan lagi membabitkan kira-kira 170,000 rakyat Filipina yang belum meninggalkan negara ini secara sah.
Bimbang berlaku penganiayaan
Pesuruhajaya Bangsa-bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) juga membuat pemohonan yang sama agar tempoh pengampunan itu dilanjutkan.
"Kami telah meminta Malaysia supaya menangguhkan sebarang gerakan menangkap pendatang untuk selama tiga bulan lagi," kata Ketua UNHCR di Malaysia, Volker Turk.
Katanya, awal Januari lalu, UNHCR telah menasihatkan negara-negara terbabit agar tidak menghantar pulang pendatang pulang ke kawasan yang dilanda tsunami hujung tahun lalu, kerana ramai daripada mereka adalah dari wilayah Acheh yang paling teruk dilanda bencara tersebut.
Dianggarkan 400,000 pendatang haram telah mengambil peluang untuk kembali ke negara mereka sepanjang tiga bulan pengampunan tersebut tanpa dikenakan sebarang tindakan.
Bagaimanapun, jumlah yang sama dipercayai masih bersembunyi di negara ini.
Sebahagian besar pendatang haram tersebut adalah dari Indonesia manakala yang lainnya adalah dari Fipilina, Burma, Bangladesh, India dan Sri Lanka yang datang ke Malaysia untuk bekerja di sektor pembinaan, perladangan dan industri.

