Ingatan kepada pesalah trafik
Ingatan kepada semua pengguna jalan raya sepanjang tempoh sambutan Tahun Baru Cina, terutama mereka yang telah disenaraihitamkan bagi kesalahan lalulintas.
Ingatan kepada semua pengguna jalan raya sepanjang tempoh sambutan Tahun Baru Cina, terutama mereka yang telah disenaraihitamkan bagi kesalahan lalulintas.
Pihak polis akan menggunakan tempoh tersebut untuk menahan mereka ini dan dihadapkan ke mahkamah. Oleh itu, bayar saman anda sebelum balik bercuti di kampung.
Selain itu, akhbar Oriental Daily News memetik Ketua Trafik Bukit Aman, Datuk Gingkoi Seman Pancras sebagai berkata, pihak polis juga akan menguatkuasakan pembayaran serta-merta RM300 ke atas pesalah trafik mulai esok hingga 16 Februari ini dan rayuan tidak akan dilayan.
Tambahnya lagi, sekiranya nama pemandu tersebut telah dicatatkan dalam senarai hitam, maka dia akan segera ditahan oleh polis dan dibawa ke makhamah.
Saman RM300 akan dikeluarkan kepada mereka yang melanggar peraturan jalan raya dengan memandu melebihi had laju, tidak berhenti di lampu isyarat, memandu secara bahaya, memotong kereta di garisan kembar, memandu kenderaan berat di laluan laju, dan memandu di laluan kecemasan.
Gingkoi berkata, 3,000 anggota polis trafik akan bekerjasama dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk mengadakan operasi itu sepanjang tempoh tersebut.
Katanya, langkah tersebut diambil bagi 'mengajar' mereka yang tidak mematuhi peraturan jalan raya serta mengurangkan perlumbaaan haram dan kadar kemalangan jalan raya.
Gingkoi berkata, pegawai JPJ dan polis trafik di setiap negeri akan mengadakan sekatan jalan di tempat yang ditetapkan.
Beliau berkata, pihaknya tidak akan melayan sebarang rayuan dan mereka yang disaman perlu membayarnya di kaunter sementara, atau mereka didakwa di makhamah.
Pendaftaran pemilih secara automatik
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mencadangkan kepada kerajaan supaya menggubal undang-undang yang membolehkan warganegara yang mencapai umur 21 tahun menjadi pemilih secara automatik.
Dalam laporan akhbar Sin Chew Daily , Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman berkata, langkah itu amat perlu memandangkan ramai warganegara yang layak, enggan mendaftarkan sebagai pemilih.
Menurutnya, terdapat kira-kira 2.4 juta warganegara yang telah mencapai umur 21 tahun, termasuk 250,000 orang di Sabah yang tidak mendaftarkan diri sebagai pemilih.
Abdul Rashid menegaskan demikian di forum bertajuk 'Tatacara Pilihan Raya Demokratik di Malaysia' di Universiti Malaysia Sabah.
Ditanya sama ada tempoh bertenang selama tiga hari selepas hari penamaan calon, mengundang amalan rasuah di mana ramai calon bebas atau pembangkang di Sabah menarik diri dalam pilihanraya umum lepas, beliau berkata, ramai menarik diri bukan kerana disogok tetapi lebih cenderung kepada kesedaran calon sendiri yang tidak yakin menang.
Sebelum itu, dalam syarahan umumnya, Abdul Rashid berkata Sabah sebelum ini terkenal dengan permainan politik yang berlebihan tetapi keadaan itu sudah berubah dan kini iklim politik di negeri ini telah kembali tenang dan stabil

