Deklarasi dengan Dr M tak ubah hala Harapan
Deklarasi menolak pentadbiran Datuk Seri Najib Razak yang ditandatangani pemimpin pembangkang bersama Tun Dr Mahathir Mohamad tidak akan mengubah hala tuju Pakatan Harapan, kata majlis presidennya.
Ini terutama berhubung pendirian pembangkang mengenai bentuk reformasi undang-undang, politik, media, ekonomi, kewangan, pendidikan dan sosial yang akan dilaksanakan.
“Deklarasi Rakyat yang ditandatangani oleh tokoh-tokoh yang merentasi batasan politik termasuk Mahathir dan pimpinan Harapan dan pembangkang lain adalah pengakuan tokoh-tokoh pimpinan Umno/BN sendiri bahawa institusi-institusi kerajaan telah dirosakkan oleh pentadbiran Umno/BN,” kata majlis itu.
Kenyataan gabungan itu ditandatangani oleh Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Ismail, Ketua parlimen DAP Lim Kit Siang dan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Mohamad Sabu.
Ketiga-tiga mereka berkata langkah Mahathir secara tidak langsung menjadi penerimaan bahawa institusi kerajaan yang tidak bebas “memangsakan” Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menjadi ancaman politik paling utama Najib .
Pakatan Harapan menegaskan strategi tiga serampang mereka yang selain menuntut pengunduran Najib, turut mahukan reformasi institusi-institusi dalam negara dan pembebasan Anwar.
Politik Malaysia minggu lalu mencipta sejarah apabila buat pertama kalinya Mahathir, perdana menteri keempat, berganding bahu dalam sebuah acara bersama bagi menolak kepimpinan Najib.
Mahathir dan pembangkang telah melancarkan serangan berterusan dan keras terhadap Najib, terutamanya dalam isu berkaitan syarikat pelaburan negara sarat hutang 1MDB.

