Pengerusi DAP Karpal Singh yang cedera dalam satu kemalangan jalanraya minggu lalu, dijangka pulih untuk membolehkan menghadiri sidang Dewan Rakyat bulan depan.

Anaknya, Gobind Singh, berkata, keadaan Karpal stabil, dan beliau kini dirawat untuk cederaan di bahagian leher dan belakang di Pusat Perubatan Gleneagles di Pulau Pinang.

Kemalangan itu berlaku ketika Karpal yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor sedang dalam perjalanan pulang dari Lapangan Terbang Bayan Lepas malam Sabtu lalu, apabila teksi yang membawanya dilanggarkan oleh kenderaan lain.

"Kami menjangka beliau akan pulih dan dapat menghadiri sidang Dewan Rakyat bulan lalu," kata Gobind ketika dihubungi hari ini.

Dikeluarkan dari ICU

Menurut Gobind lagi, bapanya telah dipindahkan dari bilik rawatan kecemasan (ICU) dan kini ditempatkan di wad biasa.

"Dia semakin sihat, dan keadaannya diawasi setiap hari. Tetapi kami hanya akan mengetahuinya dalam tempoh seminggu bila beliau akan dibenarkan pulang," tambahnya.

September lalu, Karpal digantung daripada menghadiri sidang dewan selama enam bulan kerana didapati telah mengelirukan Dewan Rakyat berhubung majlis angkat sumpah Ahli Parlimen.

Tempoh penggantungan itu berakhir apabila Dewan Rakyat bersidang semula pada 21 Mac hingga 28 April depan.