Sebarang usaha untuk menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak adalah tidak sihat kerana ia bercanggah dengan demokrasi yang kita amalkan selama ini.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan sebagai negarawan atau ahli politik yang sudah lama (berpengalaman), mereka (yang melakukan usaha itu) seharusnya membuat keputusan yang tidak ditempelak masyarakat.

"Tunggulah tidak lama lagi, dua tahun sahaja akan ada pilihan raya...Tak kan tak boleh sabar," kata Mohamad yang jelas ditujukan kepada kumpulan yang melancarkan gagasan menuntut Najib berundur.

"Kita percaya rakyat Malaysia mempunyai pelajaran dan jangan dihina kepintaran rakyat.

"Saya lihat mereka yang buat gagasan ada kepentingan peribadi...Jangan kerana itu sampai heret rakyat terjerumus dalam politik tidak sihat," katanya.

Mohamad bercakap kepada pemberita selepas majlis perasmian serentak Mesyuarat Agung PIBG Sekolah Menengah Kebangsaan dan Sekolah Kebangsaan DUN Rantau 2016 dan Anugerah Kecemerlangan Akademik 2015, semalam.

Beliau diminta mengulas kerjasama beberapa anggota Umno dengan pembangkang yang menandatangani pada Jumaat lalu 'Deklarasi Mahathir' yang antara lain mahu Najib berundur.

Justeru, Mohamad menegaskan Umno Negeri Sembilan, Badan Perhubungan Barisan Nasional (BN) dan wakil rakyat Negeri Sembilan sebulat suara menyokong kepimpinan Perdana Menteri.

Beliau juga berharap agar semua ahli Umno dan parti komponen BN mengambil iktibar dari gagasan itu supaya mereka bekerja lebih kuat lagi untuk mempertahankan Umno dan BN pada Pilihan Raya Umum ke-14.

Mohamad berkata pemimpin Umno yang bersekongkol dengan pembangkang diminta agar memikirkan semula keanggotaan mereka dalam parti.

- Bernama