ICAO lulus garis panduan baru selepas kehilangan MH370
Pesawat akan dikehendaki membawa peralatan yang dengan sendirinya boleh menghantar data lokasi dan mengambil langkah-langkah lain untuk mencegah kejadian seperti kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370 dua tahun lalu, kata agensi penerbangan PBB semalam.
Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) berkata peruntukan baru itu bagi mengelak kehilangan pesawat penerbangan komersil, akan berkuat kuasa pada tahun 2021.
Garis panduan baru itu memerlukan pesawat dilengkapi dengan alat yang dengan sendirinya boleh menghantar data lokasi pesawat sekurang-kurangnya sekali setiap minit jika pesawat mengalami kesukaran .
Syarikat penerbangan perlu boleh memperolehi data dari perakam penerbangan "tepat pada masanya" dan memanjangkan tempoh rakaman suara kokpit kepada 25 jam supaya semua fasa operasi direkodkan.
"Dengan semua itu, maka pperuntukan baru ini akan memastikan, dalam kes kemalangan, lokasi pesawat dapat terus diketahui dalam jarak enam batu nautika, dan pihak penyiasat dapat mengakses data perakam penerbangan pesawat dengan segera dan boleh dipercayai," kata Presiden majlis ICAO, Olumuyiwa Benard Aliu.
Katanya, ia juga akan dapat memberi sumbangan yang besar dan dapat menjimatkan kos operasi mencari dan menyelamat.
Peraturan baru ini dibuat dua tahun selepas pesawat MH370 yang membawa 239 orang, hilang tanpa dapat dikesan, selepas berlepas dari Kuala Lumpur menuju ke Beijing.
- dpa

