Kerajaan tidak akan menyediakan tabung derma bagi membantu individu atau syarikat yang diisytiharkan muflis, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Menjawab soalan Shamsul Iskandar (PKR-Bukit Katil), Najib berkata kerajaan bagaimanapun akan memberi tunjuk ajar mengenai pengurusan kewangan kepada individu atau syarikat berkenaan.

"Kita tak boleh nak beri derma kepada pihak yang bankrap. Tapi kita pertamanya boleh memberi tunjuk ajar kepada mereka dari segi pengurusan kewangan mereka terutamanya cara peribadi dan syarikat mereka," katanya ketika menjawab soalan berkenaan di parlimen hari ini.

Selain itu, anggota parlimen Pekan itu berkata seseorang atau syarikat yang telah muflis juga perlu mengkaji terlebih dahulu punca mereka melalui keadaan tersebut sebelum pihak berkaitan memberi bantuan.

"Kita boleh tengok badan berkenaan yang jaga soal kebankrapan boleh memberi pertimbangan tertentu, begitu juga dengan pihak bank.

"Kalau bank pun boleh beri pertimbangan sekiranya berdepan dengan masalah bukan kerana masalah kecuaian dan kelemahan tapi kerana masalah persekitaran ekonomi yang tidak begitu memberangsangkan, mungkin pertimbangan tersebut boleh bagi melepaskan daripada ketetapan yang dihadapi mereka," katanya.

Beliau menjawab soalan Shamsul Iskandar Mat Akin (PKR-Bukit Katil) berhubung cara kerajaan untuk menyelaikan masalah muflis, sama ada menyediakan tabung derma untuk pihak berkenaan.

Projek diteruskan walau cabaran ekonomi

Sementara itu, dalam jawapan bertulis kepada Datuk Wan Mohammad Khairil Anuar Wan Ahmad (BN-Kuala Kangsar) Najib berkata, walaupun terdapat cabaran ekonomi, kerajaan akan tetap melaksanakan projek dan program yang telah diluluskan.

Katanya, pelaksanaan projek berteraskan rakyat serta projek yang memberi kesan pengganda yang tinggi kepada ekonomi akan diutamakan.

"Semua projek yang diumumkan oleh kerajaan semasa pembentangan ucapan Bajet 2016 dan Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11)... akan diteruskan demi kepentingan rakyat serta pembangunan negara.

"Selain itu, pembangunan di kawasan luar bandar termasuk projek pertanian berskala kecil dan sederhana akan terus dimajukan," kata Najib.