Bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata beliau bersedia dikenakan tindakan oleh Umno ekoran keputusannya menyertai Deklarasi Rakyat, Jumaat lalu.

Menurutnya, beliau menyerahkan kepada Majlis Tertinggi (MT) Umno untuk membuat keputusan, namun sebarang tindakan yang dikenakan terhadapnya perlu mengikut perlembagaan dan peraturan yang ditetapkan.

“Saya faham tindakan saya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang pegang jawatan dalam parti mengambil risiko kerana mengundang reaksi serta tindakan seperti itu daripada pucuk pimpinan.

“Terpulang jika MT ingin usulkan demikian (mahu parti bertindak), tetapi biarlah megikut peraturan. Kalau untuk sesetengah orang boleh ikut peraturan, kenapa tidak kepada yang lain, nampak sangat ketidakadilan yang berlaku dalam pengurusan parti,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Jumaat lalu, Tun Dr Mahathir Mohamad, bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin serta pelbagai pemimpin pembangkang dan masyarakat sivil menandatangani Deklarasi Rakyat yang menggesa peletakan jawatan Najib sebagai perdana menteri.

Mengulas lanjut perkara itu, Mukhriz berkata sekiranya Umno mengamalkan demokrasi untuk mempertahankan hak bersuara, mereka sepatutnya diberikan ruang untuk melontarkan pandangan.

“Saya ingat zaman Tun Dr Mahathir (Mohamad) dicabar Tengku Razaleigh (Hamzah), Tun Musa (Hitam), ketika itu mereka dibenarkan bergerak ke merata tempat dan mengkritik presiden dengan tujuan untuk bersaing pada pemilihan parti. Tidak ada sebarang sekatan dikenakan malah bila kalah sekalipun ada dalam kalangan penggerak yang masih dilantik pegang jawatan menteri dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika kunjungannya ke rumah bekas ketua penyelia Pembangunan Mukim Bunut Payong Ahmed Sabri Yuosoff di Kelantan untuk memberi penjelasan dan penerangan mengenai isu politik Umno ketika ini yang dilihat semakin bercelaru.

“Saya cuba untuk beri penjelasan sebagaimana diminta. Ia juga mempunyai kaitan dengan Deklarasi Rakyat baru-baru ini, ia bukan siri jelajah yang dirancang sebaliknya kita menerima undangan, ada pihak yang jemput.

“Sebelum ini maklumat mungkin daripada sebelah pihak, jadi mereka nak dengar daripada pihak-pihak terlibat,” katanya.