Izzah: Saya tak dimaklum, saya tak baca Utusan
Anggota Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar memberitahu beliau tidak dimaklumkan akan dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen berikutan isu pertemuan dengan anak perempuan Jamalul Kiram III.
Sebaliknya, naib presiden PKR itu berkata beliau hanya mengetahui perkara tersebut ketika diajukan soalan oleh pemberita.
“Saya tidak dimaklumkan. Saya tak diberitahu. Mungkin kamu boleh beritahu saya kerana kamu lebih tahu,” kata Izzah ketika ditemui pemberita di Parlimen, Kuala Lumpur hari ini.
Ketika dimaklumkan berita tersebut dilaporkan oleh akhbar Utusan Malaysia hari ini, Nurul Izzah menjawab:
“Saya bukan pembaca tegar utusan. Setakat ini saya tak dimaklumkan,” kata Izzah ringkas.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan Nurul Izzah akan dirujuk ke jawatankuasa berkenaan pada 15 Mac ini kerana mengadakan pertemuan dengan anak perempuan ketua kumpulan bersenjata Jamalul Kiram III, Jacel Kiram pada 9 November tahun lalu.
Perkara itu disahkan oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang memberitahu anak ketua pembangkang itu juga sudah dimaklumkan berhubung tindakan tersebut.
Pada 3 Disember lalu Dewan Rakyat meluluskan usul merujuk Nurul Izzah ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.
Usul tersebut diluluskan menerusi undi belah bahagian iaitu 105 menyokong dan 77 menentang selepas lebih sejam perbahasan mengenainya dibuat.

