Pemimpin veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah menegaskan bahawa beliau tidak mahu dikaitkan dengan isu yang melibatkan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas soalan pemberita berhubung cadangan pihak yang meminta agar dua pemimpin Umno itu dipecat daripada parti.

"(Pandangan saya) Tidak penting.

“Janganlah seret saya ke dalam perkara yang mengarut ini," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Ketika ditanya mengenai pendirian Tengku Razaleigh atau dikenali sebagai Ku Li mengenai isu yang melibatkan bekas timbalan presiden Umno dan bekas menteri besar itu, beliau secara berseloroh berkata:

"Pendirian saya sangat mudah. Saya nak balik dan nak makan tengah hari," katanya ringkas.

Terdapat desakan beberapa pihak dalam Umno supaya Muhyiddin dan Mukhriz dikenakan tindakan selepas hadir dalam acara deklarasi menuntut peletakan jawatan Datuk Seri Najib Razak bersama pembangkang dan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Muhyiddin, yang senada dengan Mahathir, kini sedang digantung jawatan sebagai timbalan presiden Umno manakala Mukhriz pula terpaksa berundur sebagai menteri besar Kedah akibat ketegangan politik dalaman parti itu.