'Kit Siang macam ajak rakyat tak terima titah Agong'
Kenyataan pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang bahawa titah yang di-pertuan agong disediakan oleh kerajaan seolah-olah mengajak rakyat supaya tidak menerima titah baginda.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim berkata sebagai seorang yang telah lama menjadi anggota parlimen, Lim sepatutnya tahu 'sifat' agong di sebuah negara raja berpelembagaan.
"Saya ingat Lim Kit Siang ini sama ada dia faham atau pura-pura tak faham atau sengaja ajak rakyat (untuk) disalahfahamkan. Saya rasa ia kenyataan yang kurang bijak.
"Dia kena tengok sifat agong itu ialah sifat raja pemerintah dan mendapat nasihat perdana menteri. Sifat Agong berpelembagaan memang macam ini.
"Kenyataan ini seolah-olah mengajak rakyat tidak menerima ucapan Agong," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.
Semalam Lim mendakwa, teks ucapan agong disediakan oleh kerajaan apabila Seri Paduka bertitah menyatakan hasrat supaya pentadbiran kini diteruskan bagi merealisasikan matlamat menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi.
Seri Paduka pada titahnya juga menggesa ahli-ahli parlimen supaya berhenti berpolitik untuk kepentingan sempit kerana ia berlarutan sejak sekian lama hingga melelahkan rakyat dan kerajaan.
Mat Sabu: kita berpolitik ke akhir hayat
Kenyataan itu kemudian turut disokong oleh Presiden AMANAH Mohamad Sabu yang tidak bersetuju dengan seruan tersebut.
"Kita adalah parti politik, kita perlu berpolitik hingga akhir hayat. Kita ahli politik, bukan NGO," kata Mohamad.
Pada hari ini tiga laporan polis telah dibuat terhadap Lim, Mohamad serta Malaysiakini kerana kenyataan itu didakwa penghinaan kepada Seri Paduka dan mempunyai niat merendahkan institusi agong.

