Nasrudin tolak gesaan ganti Hadi dengan Tuan Ibrahim
PAS masih memerlukan Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai presiden bagi memimpin parti itu, kata ketua penerangannya Nasrudin Hassan.
Nasrudin berkata, walaupun tidak mengetahui motif gesaan bekas naib presiden PAS Datuk Husam Musa agar presiden ditukar, katanya parti masih memerlukan Abdul Hadi.
"Kami tak ada masalah.
“Parti masih memerlukan Tuan Guru (Abdul Hadi) presiden sebagai presiden parti dan tak ada keperluan untuk tukar," katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen hari ini.
The Malaysian Insider hari ini melaporkan, Husam yang juga anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor mencadangkan Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengambil alih jawatan Abdul Hadi sebagai presiden.
Husam dilaporkan berkata, Abdul Hadi perlu berundur dan menggantikan tempat mursyidul am atau timbalannya bagi memastikan parti Islam itu berpeluang untuk memasuki “aliran tengah” dalam kepentingan politik negara.
Selain itu, anggota parlimen Temerloh itu juga berkata Tuan Ibrahim juga sebelum ini telah menyatakan ketegasannya dengan memberi sokongan padu kepada Abdul Hadi.
"Malah, Tuan Ibrahim menegaskan beliau beri sokongan pada presiden," katanya lagi.
Cadangan Husam itu dilaporkan dibuat susulan tinjauan pusat kajian Ilham Centre yang mendapati anggota PAS merasakan mereka tiada arah tujuan kerana kenyataan sering berbeza dikeluarkan pemimpin tertinggi.
Ia ekoran PAS dilihat tidak lagi menjadi sebahagian daripada pakatan pembangkang.

